Pejabat Ekonomi "RM1" Ditutup Serta Merta - Faekah Husin

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor semalam bertindak menutup Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri yang terletak di Plaza Perangsang, Shah Alam, serta-merta dengan alasan bagi "menjimatkan kos pentadbiran".

Memetik Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Faekah Husin, dalam satu kenyataan, memberitahu bahawa penutupan itu berikutan hal ehwal ekonomi yang dilihat sebenarnya mampu diuruskan dengan baik oleh Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC).

Beliau menegaskan bahawa SSIC kini beroperasi sebagai sebuah pusat sehenti selain memiliki pegawai terlatih serta berpengalaman luas khususnya dalam bidang berkaitan urusan pentadbiran, prosedur dan promosi bagi Kerajaan Negeri.

Tegasnya lagi, penubuhan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor pada 2009 yang diletak di bawah pengurusan MBI pada asalnya dengan alasan "memanfaatkan pengalaman serta kepakaran Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim".

"Sehubungan itu, kita berpendapat adalah wajar Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor ditutup supaya peranannya tidak bertindih dengan tugas dan tanggungjawab pegawai Kerajaan Negeri yang dikhususkan untuk menjaga hal ehwal ekonomi dan pelaburan Selangor," kata Faekah sekadar memberi alasan kepada pemberita.

Anwar sebelum ini dilantik sebagai "Penasihat Ekonomi Negeri Selangor" pada tahun 2009 dengan gaji "RM1" sebulan.

Bagaimanapun, desas-desus yang di kalangan pentadbir negeri mendakwa wujudnya pertindihan arahan berhubung perbendaharaan Kerajaan Negeri Selangor yang cuba diputuskan pejabat Anwar meskipun ia hanya bertaraf "penasihat" sahaja.

Turut dikatakan bahawa ekoran perselisihan kuasa mentadbir kewangan tersebut telah menyebabkan Abdul Khalid cuba disingkirkan pucuk pimpinan PKR dalam "konspirasi peringkat tertinggi" dalam sejarah negeri Selangor itu. -KedahNews.com