Pemuda Gerakan Mahu Ibrahim Ali Kota Janji


Kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang akan menarik balik sokongan terhadap Barisan Nasional sekiranya Putrajaya tetap dengan keputusan memansuhkan Akta Hasutan sangat dialu-alukan oleh Gerakan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 September, 2014.

Pemuda Gerakan mengesa Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali supaya mengotakan janjinya sebelum ini tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) seandainya kerajaan pusat masih bertegas mahu memansuhkan Akta Hasutan.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang menyokong kenyataan yang diberikan oleh Ibrahim untuk tidak meneruskan sokongan terhadap BN sekiranya mereka bertegas dengan keputusan berkenaan dan menggangap tindakan Presiden Perkasa itu merupakan satu berita baik.

"Pemuda Gerakan mengalu-alukan kenyataan presiden Perkasa itu kerana ia berita baik buat BN. Kami tiada masalah sekiranya Perkasa bercadang menyokong Pakatan Rakyat (PR) secepat mungkin," katanya dipetik Malaysia Insider.

Tan berkata, Gerakan adalah salah satu daripada parti komponen BN dan pemuda Gerakan akan sentiasa memberi sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam cadangan memansuhkan akta tersebut kerana ia merupakan satu tindakan progresif buat Malaysia.

"Selepas pemansuhan Akta Hasutan, kita harap presiden Perkasa akan mengotakan janjinya. Dan kami akan terlebih dahulu mengucapkan terima kasih," katanya.

Merujuk kepada sidang media sebelum ini, Ibrahim memberi amaran kepada kerajaan pusat untuk tidak meneruskan sokongan terhadap UMNO-BN dalam pilihanraya akan datang sekiranya mereka tetap dengan keputusan tersebut.

Menurut Ibrahim, tindakan UMNO-BN diibaratkan sama seperti Pakatan Rakyat (PR) sekiranya kerajaan pusat tunduk kepada tekanan agar akta itu dimansuhkan.

Sebelum ini, Najib menegaskan pembubaran akta tersebut akan dilakukan dan mengantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional oleh kerajaan pusat tetapi ia dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan kerajaan tidak pernah berjanji berbuat demikian. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor