Pemuda "Pendamai" Pakatan Bertelagah, Membidas Sesama Sendiri?

Dalam dakwaan kononnya Pemuda Pakatan Rakyat "bersatu hati" cuba mendamaikan huru-hara yang melanda pemimpin tertinggi gabungan parti pembangkang itu, Ketua Pemuda PAS dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) seolah-olah "cakap tak serupa bikin".

Terbaru, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat membidas Nik Nazmi Nik Ahmad ekoran keceluparan Ketua AMK itu mendedahkan butiran pertemuan Ketua-Ketua Pemuda Pakatan Rakyat dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Kata Suhaizan, tindakan Nik Nazmi itu langsung tidak membantu usaha "mendamaikan" kepimpinan utama Pakatan Rakyat yang sedang bertelagah teruk, "retak menanti belah" dan perbuatan Ketua AMK itu hanya akan lebih mengeruhkan keadaan tersebut.

Tegasnya, perincian pertemuan yang diadakan secara tertutup itu juga tidak wajar sama sekali didedahkan kepada umum ekoran ia berlangsung secara tertutup.

"Sebarang maklumat yang diperolehi saya rasa amat tidak sesuai jika didedahkan kepada pihak umum buat masa ini kerana ia bakal mencetus polemik demi polemik yang akhirnya akan membantutkan proses yang sedang diteroka ini," katanya kepada media, semalam.

Nik Nazmi sejurus selepas bertemu dengan Abdul Hadi mendedahkan tentang pandangan Presiden PAS itu yang bertegas bahawa krisis Menteri Besar Selangor hanya boleh diselesai dengan mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi jawatan tersebut.

Ketua AMK itu memberitahu umum mengenai pendirian Abdul Hadi hasil dari pertemuan dengan Pemuda Pakatan Rakyat baru-baru ini dan sikap Presiden PAS yang dituduh DAP sebagai punca utama gabungan tiga parti bertentangan dasar itu akan musnah. 

DAP sebelum ini turut mendakwa PAS akan kehilangan banyak kerusi dengan pendirian tersebut ekoran perangai Presidennya yang enggan akur pada kehendak PKR dan DAP berhubung kemelut Menteri Besar di Selangor. -KedahNews.com