Pencuri Licik "Kebas" 96 Buah Televisyen

YAN - Kelicikan sekumpulan bekas pekerja sebuah stor peralatan elektrik di Sungai Limau Luar, di sini, mencuri dan menjual beberapa unit televisyen milik syarikat berakhir apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, kejadian itu disedari pekerja syarikat terbabit ketika melakukan pengauditan sebelum mendapati beberapa unit televisyen berkurangan sejak Mei lalu.

Menurutnya, curiga dengan perkara itu, pemilik stor berkenaan membuat laporan di Balai Polis Guar Chempedak pada 21 Jun lalu.

“Pemilik stor berkenaan mendapati sebanyak 96 unit televisyen pelbagai jenama dan saiz hilang dari stornya sejak Mei lalu.

“Susulan kejadian, sepasukan anggota polis berjaya menahan seramai 11 individu yang berumur antara 20 hingga 44 tahun yang disyaki terlibat dengan kegiatan terbabit,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, di sini, semalam.

Katanya, seorang suspek yang ditahan juga mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu mencuri dalam bangunan.

“Enam daripada individu terbabit adalah bekas pekerja stor terbabit dan terlibat secara langsung memecah masuk stor berkenaan, manakala lima yang lain sebagai orang tengah yang menjual televisyen kepada orang ramai,” katanya.

Nek Zaidi berkata, hasil soal siasat pihak polis berjaya menemui semula sebanyak 39 unit televisyen pelbagai jenama di beberapa lokasi sekitar Guar Chempedak dan Kuala Kedah.

“Kita mendapati modus operandi kumpulan terbabit adalah melakukan perniagaan barangan curi sebelum hasilnya digunakan untuk aktiviti perjudian,” katanya. -Sinar Harian