Pendokong Pro-Ulama PAS Cabar Mat Sabu Jawab 7 Soalan "Maut"!

Sempena Muktamar PAS ke-60, sekumpulan pendokong golongan pro-ulama parti itu yang bergelar El-Haraki mendesak Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, untuk menjawab tujuh persoalan yang mereka kemukakan di laman Facebook milik gerakan tersebut.

Menurut gerakan tersebut, sekiranya Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu gagal menjawab pertikaian yang menjadi punca ketidakpuasan hati mereka, maka Timbalan Presiden itu diberi kata dua sama ada untuk meletak jawatan atau diturunkan dari jawatan yang disandangnya.

Berikut adalah tujuh persoalan yang dikemukakan:
1) Dimana Abang Mat sebagai Timbalan Presiden ketika Tuan Guru Presiden kami dihentam oleh musuh?

2) Mengapa Abang Mat tidak bawa suara Tuan Guru Presiden dan PAS Pusat ketika mesyuarat PR dalam isu calon MB Selangor?

3) Mengapa Abang Mat mengguris hati kami pendokong jemaah Islam apabila hadir dalam program PSM atas nama wakil PAS sedangkan kami tak pernah redha tindakan Abang Mat tersebut.

4) Mengapa abang Mat sanggup menghina institusi Kepimpinan Ulamak dengan membandingkan dengan DAP. Jelas, ia menghiris hari kami.

5) Sanggup Abang Mat 'meredhai' tindakan khianat dua orang ADUN PAS yang membelakangi pendirian rasmi jemaah dalam isu MB Selangor. Telah tersebar printscreen whatsapp perbincangan tersebut, tapi Abang Mat diam membisu untuk memberi penjelasan.

6) Kami kecewa dengan sikap Abang Mat yang langsung tidak melambangkan Timbalan Presiden sebuah gerakan Islam. Abang Mat lebih mengagungkan aliran-aliran pemikiran terpesong seperti Sosialis berbanding Islam.

7) Kami kecewa dengan Abang Mat kerana sebelum ini kami menganggap Abang Mat sebagai Ayam Sabung kepada PAS. Tetapi sekarang mengapa menjadi 'ayam daging' kepada Anwar?
Mungkin menganggap Mat Sabu berkemungkinan besar tidak mampu menjawab atau hanya sekadar berdolak-dalik dengan persoalan-persoalan tersebut, El-Haraki memaklumkan bahawa mereka sudah enggan lagi bertolak ansur dengannya.

Justeru itu, mereka meminta agar Mat Sabu meletak jawatan secara terhormat atau berdepan dengan gerakan menjatuhkan beliau pada pemilihan pucuk pimpinan PAS pada muktamar yang berikutnya.

"Maaf, kekecewaan kami ini sudah sampai ke tahap pengakhiran. Kami merasakan sudah sampai masanya Abang Mat turun daripada kerusi Timbalan Presiden ataupun Abang Mat akan diturunkan tidak lama lagi..," tegas mereka di laman Facebook tersebut.

Mat Sabu sebelum ini menegaskan pendiriannya untuk terus bersama Pakatan Rakyat meskipun difahamkan bahawa majoriti kepimpinan pro-ulama dan Dewan Ulama PAS mahu hubungan antara parti itu dengan PKR dan DAP dikaji semula.

Mereka berpandangan bahawa PAS semakin hilang identiti dan lari dari perjuangan asal sejak bersama PKR dan DAP, serta hubungan "tahaluf siyasi" di antara gabungan parti pembangkang itu lebih merugikan Islam, termasuk menggadai perjuangan menubuhkan "negara Islam" dan "mematikan" hudud di dalam buku jingga. -KedahNews.com