Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR - Seorang penganggur hari ini mengaku tidak bersalah di
Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan menyebar dan memiliki gambar
bogel teman wanitanya.
Ashraf Azizan, 24 didakwa sengaja mengaibkan kehormatan mangsa dengan
menyebarkan gambar bogel wanita berusia 19 tahun itu di Hotel New Wave,
Desa Sri Hartamas pada jam 6 petang, 4 September lepas.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan memiliki gambar bogel mangsa, Ashraf didakwa
melakukan kesalahan itu pada pukul 10 malam di tempat dan tarikh yang
sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanan Keseksaan yang membawa
hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Datuk Mohd Noor Nordin menawarkan
jaminan sebanyak RM3,000 untuk pertuduhan pertama dan RM2,000 bagi
pertuduhan kedua.
Bagaimanapun peguam tertuduh, Khairul Nizam Abd Razak memohon mahkamah
mengurangkan jumlah jaminan kerana tertuduh tidak bekerja dan hanya
membantu ibunya menjual kuih.
Majistret Nur Aminatul Mardhiah Mohd Noor membenarkan tertuduh diikat
jamin RM3,500 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 8 Oktober depan
untuk sebutan dan penyerahan dokumen kes. - Bernama