Pengarah Filem Lagenda Meninggal Dunia... Al-Fatihah

PETALING JAYA - Pengarah filem veteran, Datuk Jamil Sulong, 88, meninggal dunia di rumah anaknya di Bukit Utama Damansara, di sini kira-kira pukul 9.35 malam Khamis.

Anak Allahyarham, Dr Anwardi Jamil berkata, bapanya meninggal dunia akibat serangan angin ahmar.

Katanya, Allahyarham dirawat kira-kira sebulan di sebuah hospital di sini akibat penyakit itu.

Jenazah Allahyarham dijadualkan akan dibumikan di Tanah perkuburan Islam Janda Baik, Bentong, Pahang selepas solat Jumaat.

Allahyarham adalah pengarah filem Melayu kedua terbanyak mengarah filem selepas Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Filem-filem arahannya seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tanggang, Lela Manja, Bidasari dan Raja Bersiong.

Karya arahan Allahyarham juga banyak merangkul anugerah bukan sahaja dalam negara tetapi juga peringkat antarabangsa.

Allahyarham juga turut terlibat menghasilkan gurindam selain menulis dan mencipta lagu-lagu untuk P.Ramlee termasuk Berkorban Apa Saja, Tiru Macam Saya, Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Azizah.

Allahyarham berkahwin dengan Datin Rosnani Jamil dan dikurniakan tiga cahaya mata. -Mstar