Vokalis kumpulan Kristal, Lan atau nama sebenarnya Razlan Mohamed Yosof, mendakwa telah mengalami kerugian ribuan ringgit apabila beliau ditipu oleh seorang bekas vokalis sebuah kumpulan rock tanahanir.
Menurut Lan, bekas penyanyi rock yang kini merupakan seorang pengurus acara tersebut tidak
menjelaskan bayaran wang padanya setelah diundang untuk membuat persembahan satu acara
Karaoke Merdeka Contest di Plaza Pelangi,Johor pada 24 Ogos lalu.
Lan
berkata, sepatutnya bayaran dibuat sejurus selesai membuat persembahan pada
hari itu, namun individu tersebut telah memberi pelbagai alasan yang
tidak masuk akal untuk mengelak dari membuat bayaran padanya hingga kini.
Isteri Lan,Shiela juga dikatakan turut menelefon individu
terbabit bagi meminta wang tersebut, namun jawapan yang diterima adalah sama.
"Kita kan kawan-kawan artis, takkan aku nak menipu
pula,” kata bekas penyanyi rock tersebut kepada Lan dan isterinya.
Atas dasar percaya, Lan tidak kisah asalkan wang yang dijanjikan pemuda
terbabit diberikan setelah selesai persembahan.
Pada
Sabtu yang lalu, Lan telah mendedahkan nama penuh dan foto lelaki tersebut
menerusi laman instagram beliau dengan kapsyen meluahkan rasa marahnya di atas
tindakan pemuda itu yang tidak menepati janji.
Isteri
Lan juga ada menghubungi pihak penganjur terbabit bagi meminta wang mereka,
tetapi mereka terkejut setelah diberitahu penganjur acara berkenaan bahawa wang
itu telah lama diselesaikan, malah sebelum tarikh persembahan tersebut lagi.
Antara
alasan yang diberikan lelaki tersebut adalah akaun bank bermasalah dan beliau
terpaksa menggunakan wang tersebut untuk melangsaikan hutang kereta yang
tertunggak selama enam bulan serta masalah adik-beradiknya pula.
Sehingga
hari ini Lan masih memberi peluang kepada pemuda itu, tetapi beliau tidak akan
teragak-agak untuk membuat laporan polis jika perkara yang dibangkitkan itu tidak selesai dalam masa terdekat.
Selain itu, Lan turut menyalahkan diri sendiri kerana terlalu mempercayai orang dan amat
kesal dengan apa yang telah berlaku dan berharap perkara ini tidak akan terjadi pada rakan-rakan artis yang lain. -Norhayati Shaharun/KedahNews.Com