Perkasa Bidas Kenyataan Anak Tun M

Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) menyelar kenyataan anak kepada Mantan Perdana Menteri, Datin Paduka Marina Mahathir berhubung kenyataannya ke atas PERKASA dan Utusan Malaysia yang didakwa diberikan keistimewaan oleh kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata, sekiranya benar Marina mempunyai bukti berhubung dakwaannya itu, beliau mencabar anak kepada Tun Mahathir Mohamad mengeluarkan semua bukti-bukti tersebut.

"Jangan cakap hanya berasaskan kepada persepsi yang tidak ada bukti. Jika benar Perkasa melanggar undang-undang negara, boleh dakwa kita," kata Ibrahim yang dipetik Malaysia Insider.

Dalam satu kenyataan Marina pada Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia baru-baru ini, dia mendakwa akhbar Utusan Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding akhbar-akhbar lain kerana ia merupakan milik UMNO.

"Utusan ada kebebasan mengkucar-kacirkan keadaan," katanya dalam Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia baru-baru ini.

Selain itu, Marina turut mendakwa PERKASA diberikan kelebihan dalam menyuarakan kenyataan atau pendapat menerusi media kerana pertubuhan ini menyokong pentadbiran UMNO.

Ibrahim berkata, apa yang diperjuangkan oleh PERKASA adalah satu perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan malahan ia ada kuasa dan hak keistimewaan orang melayu dalam negara ini.

"Adakah dengan memperjuangkan asas Perlembagaan termasuk hak dan keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan juga Raja-Raja Melayu menjadi kesalahan dan melanggar undang-undang negara," katanya lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor