Perogol Bersiri Dipenjara Setengah Abad

Seorang penyamun yang juga perogol bersiri dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, terhadap Mohamad Khairi Bahauddin, 32 yang punyai lima pertuduhan yang dia didapati bersalah termasuk merogol dua remaja pada 2010.

Tertuduh dikenakan hukuman berkenaan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin membenarkan rayuan pihak Timbalan Pendakwa Raya yang merayu mahkamah meminda hukuman 15 tahun dijalani tertuduh yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Mac lalu, lapor Hmetro.com.my.

Mohamad Khairi yang juga seorang nelayan dan pernah menjalani hukuman penjara bagi kesalahan rogol dan samun, didakwa dengan dua tuduhan rogol dan tiga tuduhan samun pada 2010.

Bagi pertuduhan rogol, tertuduh dikenakan hukuman penjara 15 tahun setiap pertuduhan, selain 16 sebatan, manakala bagi samun dia dikenakan penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun hakim mengarahkan kesemua hukuman dijalankan serentak iaitu 15 tahun dan 16 sebatan.

Pesuruhjaya Kehakiman membuat keputusan mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh dijalankan secara berasingan bagi lima pertuduhan, meminda hukuman yang dibuat Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Noorin membuat keputusan itu, selepas mendengar hujah dari pihak Timbalan Pendakwa Raya How May Ling dan peguambela tertuduh Mohamad Hafiz Jalaludin.

Menurutnya, masyarakat perlu dilindungi daripada tertuduh seorang yang berbahaya dan perlu dipisahkan daripada masyarakat untuk tempoh lama, kerana masih melakukan kesalahan sama walaupun pernah menjalani hukuman penjara.