Kota Tinggi – Persidangan Muktamar
Pemuda PAS ke-55 semalam bertukar menjadi kecoh apabila beberapa perwakilan menyuarakan
bantahan terhadap isu pemilihan yang dilakukan tahun lalu serta menyifatkan ia
sebagai tidak sah kerana terdapat perwakilan di negeri Johor dibenarkan
mengundi walaupun kawasan tersebut tidak diiktiraf menjadi perwakilan.
Kekecohan tersebut berlaku
apabila perwakilan Pemuda PAS dari Shah Alam mula membangkitkan isu berkenaan
semasa dewan ingin meluluskan minit mesyuarat laporan tahunan Muktamar PAS
ke-54.
Menurut sumber yang dipetik
menerusi Malaysia Insider, perwakilan dari Shah Alam mempersoalkan mengenai keputusan
pemilihan tahun lepas yang dilihat sebagai tidak sah kerana terdapat
perwakilan dari Sembrong, Pengerang,
Labis dan Kulai dibenarkan mengundi sedangkan kawasan tersebut tidak diiktiraf.
Jelas perwakilan itu lagi,
sekiranya pemilihan itu diluluskan PAS berkemungkinan akan diharamkan
pendaftaran mereka oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana meluluskan minit
menyuarat tanpa menyediakan laporan yang lengkap.
Perkara tersebut turut disokong
oleh perwakilan Pemuda Sabak Bernam, Mohd Labib Abd Jalil yang menyifatkan
pemilihan berkenaan tidak sepatutnya diluluskan oleh dewan.
"Setuju atau tidak pemilihan
lepas adalah pemilihan tidak sah," kata Mohd Labib Abd Jalil, perwakilan
Pemuda PAS dari Sabak Bernam ketika bangun menyokong kenyataan perwakilan Shah Alam
itu.
Kekecohan tersebut menyebabkan
Pengerusi tetap Perwakilan Pemuda PAS, Kamal Ashaari membuat keputusan untuk
menangguhkan persidangan selama 10 minit bagi mendapatkan nasihat daripada
pemimpin tertinggi parti itu.
"Saya memohon kepada semua
untuk membawa kepada pihak atasan, malah bawa kepada Majlis Syura Ulama.
"Saya mohon beri mandat kepada
saya untuk bawa ke peringkat atasan untuk menyiasat dakwaan yang dibangkitkan
malam ini, mereka yang ada autoriti buat keputusan," katanya kepada
perwakilan.
Sejurus persidangan disambung,
Kamal memberi jaminan kepada semua perwakilan pemuda bahawa isu tersebut akan
diselesaikan oleh Dewan muktamar PAS selepas ia di bawa kepada pucuk pimimpinan
tertinggi parti itu,
"Saya akan bawa malam ini
kepada kepimpinan atasan, tidak tunggu esok, lusa. Kita tidak ada autoriti.
"Kalau diputuskan kita perlu
untuk mengadakan pemilihan semula, kita akan adakan muktamar khas untuk mengadakan
pemilihan semula," ujar Kamal yang dilihat menangis semasa menyampaikan
perkara itu.
Difahamkan sejurus kekecohan itu berjaya
diselesaikan, Kamal telah dikejarkan ke hospital akibat mengalami sesak nafas.
Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat
menyifatkan kekecohan yang berlaku ada satu kebiasaan dalam setiap persidangan
kerana setiap perwakilan mempunyai hak untuk meluahkan pandangan mereka kepada
parti.
"Pada saya ia normal, mereka
beri pandangan masing-masing cuma emosi sikit, biasalah orang muda.
"Saya tetap dengan pandangan
untuk beri ruang dan peluang, kalau tidak mereka akan gunakan ruang lain yang
ada," katanya lagi.
Dalam pada itu, Suhaizan mengakui
menerima surat layang berhubung isu tersebut dan dia enggan mengedahkannya
kerana menganggap kepimpinan Pemuda PAS yang diketuainya sudah diterima oleh
setiap ahli pemuda,
"Saya ada nampak dalam surat
layang, yang mengatakan perkara ini berlaku, dalam beberapa bulan lepas.
"Disebabkan itu surat layang
kita tidak ambil apa-apa tindakan.
"Saya tidak tahu, serangan
itu kepada jawatankuasa pemilihan lepas, bukan saya," tambahnya lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor