PKR Dan DAP Tidak Punya Hak Tentukan Keputusan Presiden PAS - Nik Aziz

Kota Bharu - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak mempunyai hak untuk memaksa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik keputusan parti itu menolak cadangan Pakatan Rakyat meletakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Nik Aziz berkata, kedua-dua parti tersebut tidak mempunyai kuasa dalam menentukan keputusan PAS dalam isu itu dan tindakan PKR serta DAP memaksa Abdul Hadi menarik kenyataannya adalah satu perkara yang tidak wajar.

Jelas Nik Aziz lagi, PKR dan DAP sebenarnya hanya sebuah parti yang ‘menumpang’ dalam perjuangan PAS dalam menentang UMNO.

"Tidak ada hak orang lain (PKR dan DAP) paksa parti lain (Pas) buat sesuatu. Keputusan yang dibuat Presiden Pas maka tidak ada hak untuk orang suruh tarik balik.

"Kita adalah tiga parti (Pas, PKR dan DAP) yang berpakat melawan UMNO dan Pas adalah 'kakak tua' (abang), Pas dibawa masuk ke Kelantan pada 1951 oleh (Allahyarham) Ustaz Amaluddin Darus, saya sendiri masuk Pas tahun 1957 dan mula bergiat.

"Orang lain menumpang, DAP mari kemudian, PKR menumpang kemudian, orang Pas ada pengalaman yang begitu banyak sebelum daripada orang lain dan terima bermacam-macam dugaan, jadi Datuk Presiden (Abdul Hadi) buat kenyataan dan kenyataan ini daripada keputusan majlis-majlis (mesyuarat) sebelum ini," katanya dipetik Utusan.

Merujuk laporan sebelum ini, beberapa pemimpin dalam PKR dan DAP telah memaksa Abdul Hadi menarik balik kenyataannya yang mendakwa Wan Azizah tidak mempunyai kebolehan menjadi Menteri Besar Selangor.

Kenyataan Abdul Hadi itu telah menyebabkan dia ‘diserang’ teruk oleh pemimpin dalam Pakatan Rakyat yang turut mengkritik kepimpinannya semasa menjadi Menteri Besar Terengganu dahulu.

Sementara itu, Nik Aziz turut mengucapkan syukur kerana tindakan PAS menghantar tiga nama calon Menteri Besar kepada Sultan Selangor telah diterima baik oleh pihak Istana.

Bekas Menteri Besar Kelantan mengakui terkejut dengan tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang murka terhadap PKR dan DAP serta menganggap kedua-dua parti ini sebagai biadap dan derhaka kepada titah baginda.

"(Allahuakbar)! Memang Raja ini Raja... Raja ialah Raja..Raja 'is' Raja..," kata Nik Abdul Aziz lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor