Meskipun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menegaskan melalui titah baginda yang mahu Pakatan Rakyat mengemukakan lebih dari dua nama calon bagi menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, namun PKR tetap berdegil.
Mengenepikan titah Sultan Selangor itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa
parti itu tetap berkeras, hanya mempersembahkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal menggantikan Khalid.
"Majlis Pimpinan Pusat PKR yang baharu dipilih telah bermesyuarat
pada 2 September (semalam) untuk membincangkan pendirian kepemimpinan
baharu mengenai isu Menteri Besar Selangor.
"Oleh itu kami menegaskan sekali lagi keputusan yang dibuat pada 21
Julai lalu yang bersetuju sebulat suara mencalonkan Dr Wan Azizah
sebagai Menteri Besar," katanya, seolah bangga dengan keputusan parti yang tidak mengendahkan titah Sultan Selangor itu.
PKR dilaporkan telah menghantar nama Wan Azizah kepada pihak Istana untuk dipertimbangkan, semalam.
Sementara itu, DAP turut mengikut jejak langkah PKR dengan menghantar satu nama calon sahaja (Wan Azizah) kepada pihak Istana, dan perkara berkenaan telah disahkan oleh Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, semalam.
Bagaimanapun, PAS tetap berkeras mengajukan dua nama calon bagi menggantikan Khalid dengan menamakan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, sebagai nama kedua atas alasan mentaati titah Sultan Selangor.
Namun, PAS mengambil keputusan untuk mencalonkan nama mana-mana ADUN dari parti itu untuk menggantikan Khalid meskipun parti tersebut memiliki majoriti yang lebih besar berbanding PKR atau DAP di Selangor.
Rentetan itu, desas-desus di peringkat akar umbi PAS khususnya di negeri termaju itu dikatakan agak tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan tertanya-tanya sama ada parti mereka ketandusan pemimpin yang berkualiti untuk memegang jawatan Menteri Besar di Selangor. -KedahNews.com