PAS menerima tamparan hebat dari rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, apabila tiada kepimpinan utama dari kedua parti itu yang sudi hadir di majlis perasmian Muktamar PAS kali ke-60 yang berlangsung di Kota Tinggi, Johor, semalam.
Beberapa media yang hadir di majlis berkenaan mendakwa tindakan tersebut sengaja dilakukan terhadap PAS ekoran pendirian Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan menamakan isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.
Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya turut menyelitkan unsur sindiran terhadap PKR dan DAP dengan mengingatkan kedua parti itu bahawa PAS tidak pernah khianat pada mereka.
"Sepanjang
sejarah PAS, kita tidak pernah mengkhianati rakan tahaluf kita. Maka
kita menasihati rakan tahaluf kita agar tidak mengkhianati kita.." tegas Presiden PAS itu, semalam.
Menurut sumber, PKR hanya menghantar Naib Presiden mereka, Tian Chua, dan Shamsul Iskandar Mat Akin sebagai wakil mereka, manakala DAP pula hanya diwakili Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.
PAS kini dilihat seolah-olah "dipulau" oleh PKR dan DAP apabila pimpinan utama kedua parti yang kononnya "sepakat" itu turut tidak hadir di hari penamaan calon Pilihanraya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor yang sedang berlangsung di Kelantan.
Desas-desus mula kedengaran di peringkat akar umbi PAS yang mahu parti mereka bertindak keluar dari Pakatan Rakyat ekoran perbuatan PKR dan DAP yang memalukan PAS secara melampau meskipun hubungan mereka hanya tercalar dengan isu yang dimulakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Reaksi majoriti penyokong pro-ulama di dalam PAS juga menegaskan bahawa mereka "bersyukur" atas ketidakhadiran Anwar dan pemimpin utama DAP yang disifatkan hanya akan "mengotorkan" perhimpunan tahunan parti mereka itu. -KedahNews.com