Menurut resolusi MPP PKR yang diputuskan semalam, proses yang diputuskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu disifatkan sebagai "tidak mengikut kehendak
Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan bertentangan dengan amalan
prinsip demokrasi berparlimen".
"MPP melahirkan rasa yang amat kesal dengan layanan yang telah
diberikan oleh pihak Istana terhadap pencalonan Datin Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail yang telah memenuhi kehendak Undang-undang Tubuh Negeri
Selangor dengan sokongan majoriti 30 ahli Dewan Negeri.
"MPP juga tidak bersetuju dengan cara pihak Istana menangani proses
pencalonan yang melibatkan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga
beliau langsung tidak dipanggil mengadap walaupun mempunyai sokongan
majoriti yang jelas," menurut resolusi itu yang dipetik dari Berita Harian, semalam.
Biarpun menerima pelantikan Azmin
sebagai Menteri Besar yang baharu, kepimpinan PKR tetap
mempertikaikan tindakan pihak Istana Kayangan itu yang didakwa kononnya telah menjejaskan
kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan di negeri tersebut.
Bagaimanapun, MPP PKR menyatakan mereka menerima keputusan Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah, demi menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar secepat mungkin yang jelas menjejaskan imej Pakatan Rakyat di mata rakyat.
Selain itu, MPP PKR itu kononnya mendakwa terpaksa menerima cadangan isteri Anwar yang akur atas pelantikan Azmin berbanding dirinya atas nama "demokrasi".
"Makanya, MPP telah memutuskan untuk menghormati permintaan Datin
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk beliau menarik diri dari dicalonkan
agar isu ini dapat diselesaikan segera.
"Berikutan itu, MPP juga bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar saudara Azmin Ali dikemukakan
sebagai calon Menteri Besar supaya pencalonan saudara Azmin Ali itu
adalah dari parti mengikut tuntutan amalan demokrasi.
"Ini selaras dengan pendirian MPP bahawa kemuliaan perlembagaan dan
keluhuran undang-undang perlulah dipertahankan sepanjang masa," kata mereka.
Apapun, kepimpinan tertinggi PKR itu memberi "amaran" pada pihak Istana Selangor supaya tidak mengulangi proses pelantikan Menteri Besar sebagaimana yang berlaku kali ini, kononnya dengan alasan "tidak menepati kehendak undang-undang".
"MPP
menegaskan juga bahawa proses yang tidak menepati kehendak undang-undang
ini tidak boleh dijadikan satu duluan di masa hadapan," tegas
resolusi itu. -KedahNews.com