PPS: Khatib Jumaat Kritik Polis Disiasat Dibawah Akta Hasutan


Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap seorang khatib yang didakwa mengkritik pasukan keselamatan itu berhubung isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) menerusi khutbah Jumaat di Masjid Acheh Kebun Lama George Town, jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata individu berkenaan akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

"Setakat ini polis terima satu laporan daripada seorang lelaki yang mengaku ahli biasa PAS petang semalam," katanya yang dipetik dari laman Bernama.com.

Laporan lelaki itu yang turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan mendakwa khatib terbabit menyatakan sokongan terhadap PPS dan mengkritik kerajaan pusat dalam menangani isu pasukan itu.

Ahad lepas polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusinya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com