PPS: Rayer Dilepaskan Dengan Jaminan Polis


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer yang ditahan berhubung siasatan kes penangkapan anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dibebaskan dengan jaminan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) pada pukul 7 pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, Rayer dibebaskan selepas selesai mengambil keterangannya.

Penahanan Rayer pada 6 petang semalam adalah bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

"Kami kini sedang menyiapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Ketua Unit Pendakwaan selewatnya esok," katanya yang dipetik dari laman The Malaysian Insider.

Abdul Rahim turut mengesahkan kesemua 135 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditahan Ahad lalu sudah dibebaskan secara berperingkat dengan kumpulan terakhir dibebaskan, kira-kira 10 malam tadi. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com