Presiden PAS mempunyai kuasa budi bicara untuk mencadangkan nama
calon menteri besar daripada parti itu tanpa perlu merujuk kepada
Jawatankuasa PAS Pusat.
Perkara itu termaktub dalam perlembagaan parti, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya mengikut perlembagaan parti, presiden ada hak membuat
keputusan dalam beberapa perkara berkaitan parti dan timbalan presiden,
naib-naib presiden dan anggota perlu mendukung keputusan dibuat oleh
presiden.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang
pemimpin tertinggi parti yang didakwa mempertikaikan keputusan Majlis
Syura menghantar tiga nama kepada Sultan Selangor untuk dipertimbangkan
bagi jawatan menteri besar yang ditandatangani Abdul Hadi tanpa merujuk
kepada Jawatankuasa PAS Pusat.
Pemimpin berkenaan perlu merujuk semula perlembagaan PAS, kata Abdul
Hadi kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pelaksanaan Syariah
Islam di sini, Sabtu.
Pada 26 Ogos lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
menitahkan ketiga-tiga parti pakatan pembangkang di Selangor menghantar
lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar bagi menggantikan
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Itu amalan parti (PAS) sejak (memerintah) tahun 1959. Bermula tahun
59 itu, saya ikut sampailah memerintah 1964, 1969, 1974, 1978 (di
Terengganu dan Kelantan. (Nama calon dicadangkan untuk dilantik menteri
besar tidak dirujuk kepada Jawatankuasa PAS Pusat)," kata Abdul Hadi.
Berhubung spekulasi penubuhan parti 'serpihan PAS' dikenali Parti
Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang dikhuatiri akan menimbulkan
perpecahan dalam kalangan anggota PAS, beliau menyifatkan itu perkara
biasa dan amalan sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.
"Itu adalah amalan negara demokrasi, terpulang kepada Pendaftar
Pertubuhan sama ada nak terima pendaftaran Pasma, biasalah dalam negara
demokrasi ini ada banyak parti politik," katanya. -Mstar