PRK Pengkalan Kubor: Calon BN Sambung Tugas Arwah Noor Zahidi

PRK Pengkalan Kubor

Peluang Barisan Nasional (BN) menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini tinggi berdasarkan rekod perkhidmatan yang begitu baik pernah dilakukan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar selama tiga penggal menang pilihan raya.

Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman berkata, perkhidmatan terbaik ditambah dengan sokongan dan semangat tinggi dalam kalangan jentera BN meyakinkan beliau bahawa BN akan turut memenangi kerusi DUN berkenaan kali ini.

“Kerjasama masyarakat dan jentera begitu meyakinkan BN akan terus mengekalkan kemenangan kali ini.

“Saya yakin calon yang akan diumumkan 10 September ini akan membawa kesinambungan kepimpinan arwah Datuk Noor Zahidi,” kata Ramzi yang dipetik dari laman Sinarharian.com.my.

Ramzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong turut bangga apabila Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk seri Mustapa Mohamed kerap turun padang melihat perkembangan di DUN itu.

Menurutnya, kerjasama padu semua pihak memberikan keyakinan hasrat Umno menang kerusi Dun Pengkalan Kubor akan tercapai.

“Kita sudah menghantar jentera ke PDM Bendang Pak Yong bersama Badan Perhubungan Umno Perak untuk mengatur gerak kerja.

“Kita juga membuat perbincangan awal untuk meletakkan jentera secukupnya untuk kemenangan PDM Bendang Pak Yong dan PRK Dun Pengkalan Kubor khususnya,” katanya lagi. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com