KOTA BHARU - PKR yakin krisis politik parti itu di Selangor tidak akan
menjejaskan peluang mereka untuk memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dun
Pengkalan Kubor pada 25 September ini.
Timbalan Angkatan Muda Keadilan Pusat, Dr Afif Bahardin berkata, ini
kerana penduduk tempatan tidak akan memberi tumpuan khusus kepada
kemelut di Selangor walaupun isu itu akan diketengahkan dalam PRK nanti.
"Kami percaya pengundi di Pengkalan Kubor akan lebih memberi fokus
kepada isu tempatan yang lebih dekat dengan mereka," katanya kepada
pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama kepimpinan Pemuda Pas di
sini hari ini.
Katanya, walaupun menjangkakan akan menghadapi beberapa cabaran dalam
PRK kali ini, PKR akan cuba menanganinya dengan kekuatan jentera sedia
ada.
Beliau berkata PRK di kerusi Dun itu juga akan menjadi medan ujian
kepada PKR dalam menunjukkan komitmen dan keutuhan parti itu.
Dr Afif berkata 45 peratus pengundi adalah di kalangan pengundi muda
dan peratusan itu memberi cabaran kepada jentera pemuda untuk memberi
komitmen sepenuhnya dalam PRK nanti. - Bernama