#PRKPengkalanKubor: Kerajaan Pusat Sedang "Menggigil" Dengar Kempen Hatta Ramli?


Pengkalan Kubor - PAS menjangkakan Kerajaan Pusat akan "menggigil" ketakutan sekiranya parti itu menang pada Pilihanraya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor yang sedang hangat dalam suasana berkempen menjelang hari pengundian kira-kira dua hari lagi.

Pengarah Pilihan Raya  Pas Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, sekiranya PAS menang di PRK Pengkalan Kubor kali ini, ia merupakan isyarat kepada Kerajaan Pusat untuk "menggigil" takut pada PAS melalui mesej kemenangan tersebut.

"PRK ini sangat penting, walaupun kecil yang penting signal yang hendak kita sampaikan.

"Beri isyarat, biar kerajaan pusat menggigil, biar kerajaan Pusat adil selepas ini," katanya.

Justeru itu, Hatta dalam ceramah kempen politiknya semalam menggesa supaya para pengundi di DUN tersebut memberi undi pada calon partinya.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) kononnya tidak memberi hak yang sepatutnya kepada Kelantan termasuk memperkatakan tentang isu royalti minyak yang kini berada di dalam peringkat perbicaraan.

PAS sebelum ini memberi amaran kepada BN supaya tidak menimbulkan isu royalti minyak yang dituntut Kerajaan PAS Kelantan atas alasan kes tersebut sedang dibicarakan di mahkamah, namun parti itu menjadikan isu tersebut dalam kempen-kempen mereka di PRK itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya memberitahu bahawa beliau hanya menunggu "lampu hijau" dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk mendedahkan fakta sebenar mengenai tuntutan royalti berkenaan.

Kata beliau, Kerajaan BN perlu mempertahankan diri dari menjadi bahan fitnah PAS berkenaan isu tersebut ekoran tindakan "cakap tidak serupa bikin" yang dipamerkan parti Islam itu sepanjang tempoh berkempen. -KedahNews.com