#PRKPengkalanKubor: Nak Berpesta Di Seberang Sungai Golok? Jangan Haraplah..!

TUMPAT - Polis memperketatkan kawalan di kawasan Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di daerah ini sepanjang musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor bagi mengawal kemasukan warga asing.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pasukan Polis Marin dengan kekuatan seramai 78 anggota akan mengadakan rondaan selama 24 jam di sepanjang kawasan sungai itu.

"Sebanyak enam buah bot akan digunakan untuk kegiatan meronda di kawasan perairan khusus bagi mengawal kemasukan warga asing.

"Kita tidak mahu individu yang tidak berkaitan masuk ke kawasan ini dan membuat ganguan, kita ingin pastikan tiada sebarang kekacauan berlaku sepanjang PRK ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sepanjang Sungai Golok di sini hari ini. - BERNAMA