#PRKPengkalanKubor: PAS Kelantan Gesa Majikan Luar Kelantan Beri Cuti Pada Pengundi


Kerajaan Kelantan meminta majikan pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di luar Kelantan, agar memberi pelepasan kepada pekerja mereka untuk pulang mengundi pada 25 September ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kebenaran daripada majikan adalah penting kerana hari mengundi pada Khamis itu adalah hari bekerja di negeri lain.

“Di Kelantan tidak ada masalah kerana semalam, kerajaan negeri telah mengumumkan cuti peristiwa pada 25 Sept ini sempena PRK tersebut,” katanya yang dipetik dari Bernama.com.

Katanya, pelepasan majikan itu dapat meningkatkan peratusan orang keluar mengundi dan menyuburkan lagi sistem demokrasi negara ini.

Sebanyak 24,039 pemilih berdaftar bagi kawasan DUN Pengkalan Kubor yang terletak dalam kawasan Tumpat.

Daripada jumlah itu lebih 1,700 pengundi berada di luar kawasan DUN berkenaan.

PRK DUN Pengkalan Kubor akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com