#PRKPengkalanKubor: PAS Kempen Terlampau, Cabul Agama Buddha - Masyarakat Siam

Sikap PAS yang memperguna institusi agama mereka sebagai modal berkempen pada Pilihanraya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor dikecam oleh masyarakat Siam.

Masyarakat Siam menganggap perbuatan tersebut sebagai satu tindakan yang mencemar institusi Buddha dengan mengaitkan ketua sami dan sami-sami Siam dalam kancah politik dalam kempen politik mereka.

"Kami kesal dan mengecam tindakan yang dilakukan PAS dan menganggap parti itu tidak sensitif terhadap institusi dan agama kami.

"Ia merupakan perbuatan untuk mencabuli institusi dan agama Buddha," kata Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Siam, Senator Datuk Boon Som Inong, semalam.

Difahamkan bahawa PAS mengedar poster gambar ketua sami dan sami-sami Siam bersama Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dalam kempen PRK DUN Pengkalan Kubor. 

Justeru itu, Boon mengesa PAS supaya memohon maaf pada masyarakat Siam atas tindakan kempen "terlampau" yang dijalankan parti itu sehingga menimbulkan kemarahan ramai pihak. -KedahNews.com