#PRKPengkalanKubor: PAS Tuduh UMNO Terbit Risalah Kempen PAS?

PAS menuduh UMNO sengaja mencetus kekeliruan rakyat di Pengkalan Kubor dengan mendakwa parti itu menerbitkan akhbar palsu yang mirip akhbar kempen milik Perhubungan PAS Kelantan, "Pengkalan Kubor Kito".

Timbalan Pengarah Operasi PAS bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab mencetak risalah "Pengkalan Kubor Kito" palsu menyerupai akhbar kempen yang diterbit Perhubungan PAS Kelantan.

"Tindakan itu menggambarkan Umno sangat terdesak sekarang. Tujuan mereka bagi  mengelirukan orang ramai terutamanya pengundi di saat menjelang hari mengundi  esok.

"Secara jelas risalah tersebut palsu kerana akhbar kempen kita langsung tidak memuatkan isu sekitar muktamar PAS yang berlangsung di Johor baru-baru ini," kata Mohd Zaki yang dipetik dari laman rasmi PAS, Harakahdaily.

Bagaimanapun, Mohd Zaki tidak mengemukakan bukti-bukti sahih bagi menyokong tuduhannya itu.

Difahamkan bahawa risalah itu diedar di Muktamar PAS ke-60 di Johor baru-baru ini yang menyiarkan beberapa laporan bertajuk "Kaji Semula Tahaluf Siyasi" dan "Krisis Selangor Bukan Masalah".

Kata Mohd Zaki, risalah yang diterbitkan pihaknya hanya berkisar mengenai isu-isu di Pengkalan Kubor sahaja.

Muktamar PAS baru-baru ini kecoh apabila beberapa perwakilan yang mengecam hebat kepimpinan utama PAS khususnya Timbalan Presiden dan dua ADUN PAS Selangor yang dilabel sebagai munafik, barua dan broker.

Diperingkat akar umbi PAS pula hangat diperkatakan tentang gesaan mahu parti itu mengkaji semula bentuk tahaluf siyasi mereka dengan DAP dan PKR ekoran dua parti sekutu itu dikatakan tidak menghormati serta memulaukan PAS. -KedahNews.com