#PRKPengkalanKubor: PAS Tuntut Diberi Ruang Dalam Jawatankuasa Royalti Minyak


Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassaruddin Daud meminta supaya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunaikan janjinya untuk memberi ruang kepada satu jawatankuasa royalti minyak Kelantan yang ditubuhkan bagi memeriksa butiran berkaitan

Nassaruddin juga berkata, perjanjian yang dimeterai pada 1975 oleh semua menteri besar itu jelas menyatakan gas dan petroleum adalah hak milik kerajaan negeri Kelantan.

"Timbalan presiden UMNO sebut beliau bersikap terbuka dan boleh terima wakil kerajaan negeri hendak pergi periksa. InsyaAllah jika betul berpegang pada janji, kita akan tubuhkan jawatankuasa. Kita akan periksa macam mana.

"Biar dia bagi ruang pada kita. Ini hak kita. Orang Kelantan lama menderita. Duit kita ada, orang lain rampas," katanya yang dipetik dari laman The Malaysian Insider.

Muhyiddin juga didakwa telah mencabar kepimpinan PAS untuk menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat kewajaran royalti minyak diberikan kepada Kelantan.

Jawatankuasa itu boleh menyiasat dari aspek perundangan atau akaun Petronas sendiri sama ada syarikat petroleum negara itu memiliki RM12 bilion peruntukan kepada Kelantan, kata Muhyiddin.

"Saya cabar PAS supaya menubuhkan jawatankuasa menyiasat perkara sebenar, baik dari sudut perlembagaan, akta sedia ada, prestasi Petronas untuk diteliti di mana perakaunan Petronas didapati ada jumlah RM12 bilion yang tertunggak,

"Saya percaya ini tuduhan agak serius. Saya anggap ini satu fitnah kerana Petronas syarikat milik kerajaan, banyak syarikat di bawahnya milik awam. Mereka mengamalkan sikap ketelusan,

"Sebab itu apa yang diputuskan royalti adalah pertimbangan kerajaan BN walaupun dari segi undang-undang, kita tubuh jawatankuasa untuk meneliti tuntutan ini, didapati kawasan yang terlibat jauh lebih daripada 3 batu nautika dan ikut perlembagaan, di luar kawasan itu milik kerajaan pusat," kata Muhyiddin.

Nassuruddin juga meminta Muhyiddin untuk menjelaskan jika bukan royalti RM12 bilion perlu diberikan kepada Kelantan, maka berapa jumlah yang sebenarnya.

Katanya, royalti negeri yang diperintah Kerajaan PAS ditarik untuk mendesak rakyat Kelantan akur mengundi Barisan Nasional (BN).

"Saya hendak jawab kenyataan timbalan presiden Umno. Dia kata tidak timbul soal tidak bayar royalti minyak RM12 bilion. Tidak betul katanya. Saya hendak tanya kalau bukan RM12 bilion, berapa bilion? Biar dia cakap,

"Kalau kerajaan negeri tiada hak mengapa waktu Umno memerintah Terengganu dulu dia bayar royalti minyak? Biar dia jawab,

"Masa PAS memerintah Terengganu peringkat permulaan Tok Guru (Hadi Awang) jadi menteri besar dia bayar lagi royalti minyak. Bila dia berasa bayar royalti minyak, Umno tidak akan menang sampai bila-bila maka dia tarik royalti minyak. Tiba-tiba dia kata kita tiada hak. Ini tidak betul," katanya lagi. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com