#PRKPengkalanKubor: Pemimpin PAS Dakwa BN Ketandusan Calon Ulama

Mat Razi Mat Ail, Calon BN di PRK Pengkalan Kubor
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassaruddin Daud mendakwa Barisan Nasional (BN) ketandusan calon ulama dengan meletakkan Mat Razi Mat Ail sebagai calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Nassaruddin berkata, Mat Razi hanya mengajar qiraati di sekolah pondoknya dan tidak seperti sekolah pondok lain yang mengajar pelbagai disiplin ilmu agama.

"Walaupun calon UMNO kita tahu seorang cikgu, tetapi kerana UMNO tiada ustaz, dia tukar nama ustaz. Orang sini lebih kenal daripada UMNO. Bunyi khabar ada pondok, mengajar qiraati saja." katanya yang dipetik dari laman The Malaysian Insider.

Nassaruddin juga berkata, beliau tidak mahu taraf pondok diturunkan kerana sukatan pelajaran pondok yang tidak sempurna.

"Di kawasan Pengkalan Kubor kawasan pondok zaman berzaman kerana saya tidak mahu taraf pondok diturunkan. Orang buka pondok zaman dahulu mengajar bukan setakat kitab jawi, kitab arab pun ada mengajar. Kalau kitab Tafsir, diajar Al-Jalalain, Nasafi, Ibnu Kathir,

"Tidak ada orang buka pondok mengajar qiraati zaman dulu. Saya tidak mahu kelas pondok itu diturunkan. Orang mengaji ilmu pondok dulu kelasnya lebih dari universiti. Orang mengaji universiti kena menghadap kitab pondok. Sungguh saya kata," katanya. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com