PSMCK Mahu Jadikan Istana Sepachendera Sebagai Muzium di Kedah!!


Alor Setar - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menyuarakan cadangan kepada kerajaan negeri agar Istana Sepachendera di Jalan Kampung Baru supaya dibangunkan menjadi Muzium Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Pengerusi PSMCK, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf berkata, pihak mereka berharap agar kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap usaha membaik pulih keadaan istana yang mempunyai nilai sejarah tersendiri agar kembali kepada bentuk asalnya.

 “Istana Sepachendera memiliki nilai sejarah tinggi kerana ia dibina khusus oleh Sultan Kedah ke-28 Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah untuk isterinya.

“Baginda memerintah dari 1882 sehingga 1943 dan membina istana untuk Che Sepachendera,” katanya dipetik Sinar Harian.


Dr Wan berkata, istana tersebut mempunyai satu nilai sejarah yang cukup tinggi di antaranya kisah Tuanku Kasim  yang diangkat menjadi Putera di istana tersebut.

"Pihak kami berharap hasrat tercapai sekiranya perancangan membaiki pulih istana dibenarkan, sekali gus menyimpan koleksi baginda nanti," katanya.

, Ahli Kerabat Diraja Kedah merangkap cucunda Baginda, Tunku Aishah Tunku Kasim berkata, istana milik nendanya itu sudah terbiar begitu lama.

Menurut Tunku Aishah lagi, dia berharap banguna itu akan segera dibaik pulih kerana ia merupakan satu khazanah tidak ternilai bagi penduduk di negeri Kedah.

Sementara itu, Tunku Habsah Tunku Kasim berkata, dia menyokong penuh hasrat yang disuarakan oleh persatuan sekiranya pihak kerajaan negeri berhasrat menjadikan bangunan tersebut sebagai sebuah muzium.

Tunku Habsah berkata cadangan untuk menjadi istana itu sebagai sebuah muzium mampu menjadi satu lagi produk pelancongan menarik di negeri Kedah malahan ia akan menjadi sumber ekonomi untuk rakyat di negeri ini.

Menurut laporan yang dikeluarkan sebelum ini, istana tersebut telah dibina khusus oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah untuk isteri baginda, Che Sepachendera.

Cucunda Sultan Abdul Hamid, Tunku Mansor Tunku Kasim berhasrat mempertahankan istana tersebut yang merupakan satu warisan yang tidak terniai di negeri Kedah. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor