"R" Cabar Muhyiddin Berdebat Isu Royalti?


Tumpat – Ahli PAS yang bernaung di bawah Pertubuhan Royalti (R) meyuarakan cabaran kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengeluarkan bukti-bukti mengenai pemberian royalti minyak yang sebelum ini didakwa telah di ‘curi’ oleh kerajaan pusat.

Timbalan Presiden Pertubuhan R,  Abdul Shakur Sharrie berkata, tindakan kerajaan pusat memberi wang ihsan sebagai ganti disifatkan tidak wajar kerana dalam perjanjian sebelum ini ia jelas disebut sebagai royalti.

"Negeri-negeri lain termasuk Terengganu, Sabah dan Sarawak dibayar royalti seperti yang ditandatangani Kelantan dalam perjanjian pada tarikh sama iaitu pada Mei 1975.

"Ini satu tindakan berdolak dalih untuk menyembunyikan perkara sebenar. Mengapa Umno terpaksa menghabiskan wang begitu banyak bagi menaikkan iklan gergasi di Pengkalan Kubor semata-mata untuk terus membohongi rakyat Kelantan,” katanya dipetik harakah Daily.

Shakur berkata, dia mencabar Muhyiddin mengadakan debat secara terbuka bagi memperjelaskan mengenai isu tersebut kerana menurut fakta Kelantan mempunyai dua telaga minyak yang terletak di kawasan Joint Development Area (JDA) berhampiran sempadan Thailand dan kawasan Commercial arrangement Area (CAA) yang terletak di sempadan Vietnam.

“Jangan hendak terus berdolah dalih. Biar pun penafian demi penafian dibuat kerajaan Umno ia tidak mampu untuk menjawab isu sebenar yang cuba disembunyikan,” tambah Shakur.

Menurut Shakur lagi, kerajaan negeri bersedia mengkaji status perjanjian berkaitan royalti yang telah dipersetujui Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien pada tahun 1975.

"Demi maruah rakyat Kelantan kami terus bangkit untuk mendapatkan royalti 5 peratus daripada kerajaan Malaysia seperti mana yang telah termaktub dalam perjanjian,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh pertubuhan tersebut merupakan satu helah PAS dalam meraih sokongan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.

Jelas Muhyiddin, sekiranya dakwaan itu benar, dia mahu pihak tersebut mengemukakan bukti yang kukuh bagi membuktikan setiap tuduhan mereka terhadap kerajaan pusat di bawah pimpinan Barisan Nasional. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor