Arab Saudi – Raja Arab Saudi,
Raja Abdullah akan menaja 1,000 rakyat Palestin yang kehilangan ahli keluarga
mereka semasa serangan Israel ke atas Gaza menunaikan haji.
Menurut sumber Arab News, Raja
Abdullah yang merupakan penjaga Dua Masjid Suci di Makkah dilaporkan sudah
menaja 12,000 orang Palestin yang kehilangan ahli keluarga dalam serangan
Israel kepada penduduk di sana.
Menteri Hal Ehwal Islam, Wakaf,
Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Saleh
Al-Asheikh berkata, kementerian di sana sudah merangka beberapa program khas
bagi menaja jemaah Palestin dan memastikan mereka dapat menunaikan ibadah haji
dengan lebih selesa.
Sementara itu, dua penerbangan khas
jemaah haji dari Malaysia iaitu Penerbangan KT30 serta Penerbangan KT31
dijangka akan mendarat di Lapangan Terbang Putera Mohammed Bin Abdul Aziz di
Madinah pada jam 2.35 petang waktu tempatan (7.35 malam waktu Malaysia) dan 10.35 malam waktu tempatan (2.35 pagi
waktu Malaysia).
Penerbangan KT30 yang membawa 278
jemaah haji telah berlepas dari Terengganu pada 10.55 pagi manakala KT31
membawa 273 jemaah haji berlepas dari Pulau Pinang pada jam 7.05 malam.
Jumlah keseluruhan jemaah haji
Malaysia yang tiba di Tanah Suci setakat ini berjumlah 10,166 termasuk 4,213
orang jemaah yang kini berada di Makkah. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor