Petaling Jaya - Hanya kerana bimbang diberkas polis berikutan tidak
mempunyai lesen memandu, sepasang remaja bertindak agresif memandu
kereta melawan arus di Lebuhraya Lembah Baru Klang (NKVE) berhampiran
susur keluar Damansara Petaling Jaya, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, remaja terbabit cuba melarikan
diri sebaik ditahan anggota polis di kawasan perindustrian di Kota
Damansara.
Tindakan ‘berani mati’ itu bagaimanapun mengundang padah apabila
mereka terbabit kemalangan selepas merempuh sebuah kereta model Honda
Civic.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, kejadian berlaku apabila anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak kereta dinaiki pasangan remaja berusia 17 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, kejadian berlaku apabila anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak kereta dinaiki pasangan remaja berusia 17 tahun itu.
Menurutnya, pihak polis kemudian cuba menahan remaja terbabit untuk pemeriksaan lanjut.
“Panik melihat kehadiran kereta peronda polis, suspek terus memecut laju dan melarikan diri menyebabkan anggota polis mengejar mereka.
“Suspek mulanya melarikan diri ke arah susur keluar Damansara Lebuh raya NKVE namun bertindak berani berpatah semula dan melawan arus,” katanya.
Tindakan suspek mengundang padah apabila sebuah kereta Honda Civic yang melalui lebuh raya itu menghala ke Subang Jaya gagal mengelak sebelum merempuh kereta dipandu remaja itu.
Azmi berkata, pemandu kereta Honda Civic terselamat dalam kejadian itu sementara suspek mengalami kecederaan ringan.
“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya. -MyMetro