REZEKI dapat difahami sebagai
sumber pendapatan, mata pencarian dan bahan keperluan untuk hidup seperti
makanan sehari-hari, wang yang diperoleh untuk membeli makanan dan juga nafkah
yang dapat menanggung diri dan keluarga.
Selain itu, rezeki yang berkat
akan membawa kebaikan, keuntungan dan kemujuran dalam kehidupan seharian. Bagi
petani rezekinya adalah hasil pertanian seperti buah-buahan yang lebat dan
hasilnya dapat dijual kepada orang ramai. Bagi, nelayan rezekinya di sungai
atau di lautan berupa ikan, udang dan sotong.
Sementara itu, bagi penjawat awam
rezekinya terletak pada gaji atau bayaran yang diterima setiap bulan. Bagi
peniaga, rezekinya terletak kepada hasil jualan barangan yang dipasarkan.
Begitulah rezeki, tidak mengira siapa dan di mana akan diberikan oleh Allah SWT
kepada pemilik dan haknya.
Memanfaatkan rezeki seperti hasil
pendapatan dan mata pencarian mestilah kepada diri sendiri dan juga keluarga.
Manakala, rezeki yang banyak boleh disedekahkan kepada golongan yang kurang
bernasib baik atau kepada orang lain untuk mendapat ganjaran pahala.
Rezeki adalah mata pencarian dan
hasil kerja yang dilakukan oleh seseorang bagi meneruskan kehidupan. Nabi SAW
bersabda yang bermaksud:
Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa dan lain-lain)." (riwayat Ath-Thabrani dan Al-Baihaqi)
Sebagai manusia dan umat Islam
kita digalakkan bekerja, berusaha ke arah mencari rezeki yang halal di dunia.
Pelbagai rezeki dihidangkan oleh Allah SWT dalam bentuk dan keadaan yang berbeza.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya Ruhul Qudus (malaikat Jibril) membisikkan dalam benakku, bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap dan sempurna rezekinya. Oleh itu, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan memperbaiki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, janganlah kamu memburunya dengan jalan bermaksiat kepada Allah kerana apa yang ada di sisi Allah hanya boleh diraih dengan ketaatan kepada-Nya." (riwayat Abu Dzar dan Al Hakim)
Keupayaan dan kekuatan manusia
terletak kepada akal dan tenaga. Manusia boleh berusaha dengan akal dan tenaga
untuk mencari rezeki yang halal. Manusia boleh berusaha dengan alam dan
sekitarnya untuk mendapatkan rezeki yang halal.
Mensyukuri nikmat
Mensyukuri nikmat Allah SWT
dengan rezeki yang diperoleh adalah bukti keimanan seseorang umat Islam. Nabi
SAW bersabda yang bermaksud:
Apabila dibukakan bagi seseorang pintu rezeki, maka hendaklah dia tetap (jangan suka berpindah-pindah ke pintu-pintu rezeki lain atau berpindah-pindah usaha)." (riwayat Al-Baihaqi)
Daripada rezeki yang baik dan
halal akan memberikan keberkatan dan hubungan yang baik dengan makanan, minuman
dan pakaian dengan ibadah. Ini disebabkan, ibadah yang kita laksanakan berkait
rapat dengan sumber makanan dan minuman serta rezeki yang halal.
Umat Islam hendaklah prihatin
terhadap rezeki terutama berkaitan makanan dan minuman untuk menjamin kesihatan
tubuh badan dan mendapat keredaan Allah SWT. Faktor rezeki iaitu makanan dan
minuman juga mempengaruhi penerimaan sesuatu ibadah dan doa, makan makanan
haram iaitu daripada rezeki yang haram mengakibatkan doa tidak makbul dan
ibadah ditolak.
Mencari rezeki yang halal
diumpamakan sebagai jihad. Ini disebabkan seseorang itu terpaksa berusaha keras
demi mencukupkan rezeki berupa makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal
kepada ahli keluarganya.
Dalam berusaha dikatakan rezeki
selalu mencari orang yang sabar, tabah berusaha, tahan ujian, gembira dan
bersyukur apabila mendapat rezeki yang dikurniai oleh Allah SWT kepada
hamba-hamba-Nya. Kemiskinan atau kekayaan dikatakan tidak penting, tetapi
rezeki yang secukupnya dan berkat akan memberikan manfaat dan nikmat yang tidak
ternilai.
Sumber: Utusan