GEORGE TOWN – Tiga daripada 136 anggota Pasukan Peronda Sukarela
(PPS) Pulau Pinang yang masih ditahan polis didapati positif ujian dadah
jenis methamphetamine, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior
Faridalatrash Wahid.
Beliau berkata pemeriksaan polis juga mendapati beberapa anggota PPS
yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah dan berada dalam senarai
dikehendaki polis.
Semalam polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusi pasukan itu
yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan
Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh.
Bagaimanapun, dua puluh orang terdiri daripada tujuh wanita dan warga
emas berusia lebih 60 tahun dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi.
Mior Faridalatrash berkata proses mendapatkan perintah tahanan reman
terhadap 136 anggota PPS sedang dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Timur Laut di sini bermula pukul 12 tengah hari ini.
“Sehingga pukul 1.30 tengah hari, proses reman masih dijalankan dan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Tinjauan Bernama di IPD Timur Laut mendapati 20 peguam termasuk
Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh Deo dan RSN Rayer memasuki IPD Timur
Laut pagi ini manakala keadaan di luar ibu pejabat polis itu sesak
dengan orang ramai yang berkumpul. – BERNAMA