Rusuhan: Rakyat Malaysia Dinasihat Jangan Keluar Rumah

CHENNAI - Rakyat Malaysia di Tamil Nadu, selatan India dinasihatkan supaya tidak keluar rumah ekoran bantahan dan rusuhan meletus sejurus selepas Ketua Menteri J.Jayalalithaa disabit kesalahan dalam kes membabitkan pemilikan aset tidak seimbang.
  
Bekas bintang filem berusia 66 tahun yang lebih mesra dikenali sebagai "Amma" oleh penyokongnya dan diberi gelaran "Wanita Besi Tamil Nadu" dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Khas di Bangalore.
  
Jayalalithaa mula menjalani hukuman berkuat kuasa hari ini dan dilarang menyertai politik selama 10 tahun.
  
Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Chitra Devi Ramiah memberitahu Bernama di sini bahawa rakyat Malaysia, terutamanya pelajar telah dimaklumkan mengenai situasi itu.
  
Ada kira-kira 5,000 pelajar Malaysia di Selatan India.
  
"Pada masa ini, semua rakyat Malaysia termasuk pelancong dilaporkan selamat dan tiada isu berkaitan keselamatan yang dilaporkan kepada Konsul Jeneral," kata beliau.

Jayalalithaa didapati bersalah mengumpulkan aset bernilai Rs 66.65 crore (AS$10.84 juta), yang tidak seimbang dengan sumber pendapatannya yang diketahui semasa menyandang jawatan itu untuk penggal pertama antara 1991-1996, lapor Zee News.
  
Berikutan keputusan mahkamah, Jayalalithaa dilucutkan jawatan sebagai Ketua Menteri dan hilang kelayakan sebagai anggota Dewan Negeri Tamil Nadu.
  
Menurut laporan, pembantu peribadi Jayalalithaa, Sasikala Natarajan, anak saudara perempuannya Ilavarasi dan anak saudara lelakinya, Sudhakaran, juga disabitkan kesalahan.
  
Sementara itu, kedai-kedai di seluruh Tamil Nadu telah ditutup. Televisyen dari semasa ke semasa menyiarkan berita mengenai rusuhan yang meletus. Sekolah pula ditutup pada hari itu. - Bernama