PELAKON Sabrina Ali sememangnya sinonim dengan rangkaian drama
terbitan Skop Productions dan sejak mendirikan rumah tangga empat tahun
lalu, dia dilihat semakin kurang aktif dalam bidang seni.
Mungkin ketika itu fokus dan tumpuan pelakon manis ini lebih terarah kepada suami dan anak-anaknya.
Namun, sejak akhir tahun lalu wajahnya kembali menghiasi kaca
televisyen tempatan berikutan dia kini khabarnya sedang menghadapi
masalah rumah tangga.
Tak tahu sejauh mana kebenaran kisah tersebut tetapi daripada cara
Sabrina menjawab soalan wartawan Harian Metro ini, kita sudah dapat
meneka masalah yang dihadapi Sabrina.
Namun, disebabkan banyak hati yang perlu dijaga, Sabrina enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Tidak banyak yang boleh saya kongsi kerana ia terlalu
peribadi. Banyak hati yang perlu dijaga, tersilap kata, pasti ada yang
terguris.
“Saya pun tak tahu di mana kedudukan saya. Sukar untuk
jelaskan. Cuma sekarang saya tidak harapkan apa-apa lagi. Andai jodoh
kami panjang, semua akan kembali okay dan jika tertulis sebaliknya, saya
reda,” katanya.
Pelakon berusia 32 tahun ini bernikah dengan Syed Amirul Syed Ahmad
pada 2009 dan hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya
mata, Syed Aryan Khan, 3, dan Syed Adrian Khan, 18 bulan.
Sabrina turut mempunyai seorang anak perempuan, Ariyana, 7, yang merupakan hasil perkahwinan terdahulu.
Semoga Sabrina tabah menghadapi dugaan yang menimpa dan berharap agar masalahnya akan berjaya diatasi dengan sebaik mungkin.
Sumber: Mynewshub.my