Negeri Selangor bakal menerima Menteri Besar bagi menggantikan penyandang jawatan tersebut, Tan Sri Khalid Ibrahim yang "digulingkan" parti sendiri baharu pada Selasa ini.
Menurut sumber, Setiausaha Sulit kepada
Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani telah mengesahkan bahawa Istiadat Angkat
Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada
jam 10.00 pagi, pada hari tersebut.
Beliau turut menjelaskan bahawa majlis berkenaan bakal dilangsungkan di Istana Alam Shah, Klang.
Bagaimanapun, Mohamad Munir dilaporkan enggan mendedahkan calon terpilih yang bakal dilantik Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memilih isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal bagi menggantikan Khalid meskipun menyedari titah Sultan Selangor yang mahukan lebih dari dua nama calon dikemukakan pada pihak istana.
Selain itu nama Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad, turut dikatakan antara nama yang bakal dipilih sebagai Menteri Besar Selangor selain Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, yang dilapor turut mendapat pencalonan. -KedahNews.com