Suspek (tengah) ditahan untuk siasatan lanjut. |
KULIM - Hasrat seorang lelaki untuk mencuri lembu tidak berhasil apabila
kegiatannya itu berjaya dihidu anggota polis Cawangan Pencegahan
Jenayah (CPJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, suspek
yang berusia dalam lingkungan 20-an turut mencuri kereta yang akan
digunakan untuk membawa lembu bagi kegunaan Hari Raya Aidiladha.
Menurutnya, polis menjumpai kereta jenis Proton Wira yang disembunyikan di hadapan kilang papan di Jalan Kulim Baling.
"Pemeriksaan dijalankan terhadap enjin dan nombor casis kenderaan
terlibat mendapati ia masih dilaporkan hilang di Taman Kenari.
"Suspek turut mengaku mencuri kereta itu yang akan digunakan untuk mencuri lembu di kawasan berhampiran," katanya.
Abdullah berkata, suspek berjaya ditahan di rumahnya sebelum dibawa ke
IPD untuk menjalani ujian saringan air kencing di Bahagian Siasatan
Jenayah Narkotik.
"Dari pemeriksaan dijalankan, suspek dipercayai positif opiat dan
metapitamin selain turut didapati terlibat dalam beberapa kegiatan
jenayah," katanya.
Katanya, sehingga kini polis telah mendapat beberapa nama suspek terlibat dalam kegiatan mencuri lembu dan kereta.
"Usaha untuk menjejaki mereka terlibat giat dijalankan sepertimana dilakukan terhadap penjenayah mencuri motosikal,” katanya. -Sinar Harian