Sarawak Lambang Kejayaan Pembentukan Negara Bernama Malaysia


Miri - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga melihat pembangunan pesat yang dinikmati Sarawak ketika ini, yang menjadi bukti bahawa usaha gigih pemimpin terdahulu dalam membina pembentukan Malaysia membuahkan hasil amat membanggakan.

Beliau berkata perjalanan jauh penuh cabaran dan dugaan yang ditempuhi Sarawak dan Sabah dalam pembentukan sebuah negara bebas, merdeka serta berdaulat, menjadikan Malaysia kini umpama sebuah keluarga besar yang dianggotai rakyat berbilang kaum.

Najib berkata kini tanggungjawab meneruskan kesinambungan dalam pembangunan negara terletak di bahu seluruh rakyat dengan beliau sebagai ketua kerajaan, memikul tanggungjawab untuk mendengar suara dan tuntutan semua anggota keluarga ini.

Beliau berkata semangat serta kegigihan yang ditunjuk penduduk Sarawak dan Sabah menampakkan bahawa mereka bangga serta berpuas hati dengan langkah bijak pemimpin terdahulu yang memilih untuk merdeka bersama Malaysia.

"Kini kita tidak akan berpatah balik, kita akan pertahankan kedaulatan Sabah dan Sarawak di dalam Malaysia, dan saya sebagai Perdana Menteri, menjadi tanggungjawab saya, jika ada yang cuba menggugat keselamatan, kedaulatan negara, bersedialah untuk berhadapan dengan tindakan kekuatan undang-undang negara," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap di majlis sambutan Hari Malaysia ke-51 peringkat kebangsaan di Dataran Kipas di sini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud. -myMetro