CUKUP bersahaja, siapa sangka lelaki yang bakal mengikat tali
pertunangan dengan Sarimah Ibrahim ini sebenarnya berdarah diraja. Tunku
Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 42, yang merupakan cucu kepada Yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Almarhum Tuanku Jaafar
Tuanku Abdul Rahman berkata, tiada sebab untuk mengelak daripada ditemu
ramah memandangkan dia adalah seorang yang terbuka.
Cukup lembut menjawab setiap persoalan media, Nadzimuddin mengenali
kekasihnya, Sarimah sejak sembilan bulan lalu. Satu keistimewaan wanita
ini yang memikat hatinya adalah sifat penyayang Sarimah sendiri.
Melalui kegagalan rumah tangga, cerita Nadzimuddin atau lebih selesa
dengan panggilan Tunku Jamie persamaan inilah yang membawa dia dan
Sarimah cukup serasi bersama.
Tidak menolak sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga pada tahun
hadapan, kata Tunku Jamie walaupun sudah berkahwin dia tidak akan
menghalang Sarimah untuk terus mengemudi dunia seni yang sudah menjadi
pilihan Sarimah sejak dahulu.
Kali pertama berkenalan, kami sebenarnya berada di rumah seorang rakan bagi menghadiri satu majlis.
Memang saya tahu dia seorang selebriti, tetapi jujur saya katakan
saya kurang mengambil tahu soal dunia hiburan di negara ini. Tetapi
ketika melihat sebuah papan iklan yang memuatkan penyampai Mix FM, saya
tahu dia seorang penyampai dan selepas itu saya jadikan Mix FM sebagai
saluran pilihan saya," katanya tersenyum.
Tidak menolak wanita pilihannya ini agak sukar untuk didekati pada
mulanya, kata Tunku Jamie karakter yang dimiliki Sarimah meyakinkan dia
untuk melamar wanita ini dua bulan lalu.
Memang dia agak sukar didekati pada mulanya. Bagaimanapun dia seorang yang peramah.
Saya melamar dia dua bulan yang lalu. Cuma pada waktu itu dia tidak
memberikan sebarang jawapan. Pada bulan lepas saya kembali suarakan niat
di hati saya dan dia bersetuju," katanya.
Memilih 27 September ini sebagai tarikh untuk mereka mengikat tali
pertunangan, jelas Tunku Jamie, tarikh itu dipilih selepas memastikan
lagu terbaharu Sarimah You On My Mind dilancarkan.
Memandangkan saya tahu dia agak sibuk bulan ini dengan pelancaran lagu terbaharunya, jadi kami pilih tarikh 27 September.
Saya tidak ada masalah untuk dia terus aktif dalam bidang hiburan
memandangkan sejak saya kenal dia juga saya tahu bagaimana dia begitu
bersungguh-sungguh untuk memastikan lagu ini dilancarkan," katanya.
Tidak menolak keluarganya menerima baik keputusan untuk bertunang,
kongsi Tunku Jamie, sama seperti dirinya, ibu serta bapanya juga
kurang arif mengenai dunia hiburan. Bagaimanapun dia percaya tiada
sebab untuk mereka menghalang hubungannya dengan Sarimah.
Keluarga saya sudah tahu dan mereka tiada masalah, malah mereka
sangat gembira dengan berita yang kami akan bertunang. Saya sudah
bercerai sejak tahun lalu begitu juga Sarimah.
Saya fikir memang kami ada banyak persamaan," katanya.
Agak jarang sebenarnya untuk seseorang seperti dirinya begitu terbuka
bercakap soal ini. Namun bagi Tunku Jamie, tiada apa yang perlu dia
sorokkan memandangkan dia juga selesa untuk berkongsi kegembiraan ini
dengan peminat kekasihnya.
Memang, kalau ikutkan, saya sendiri agak gugup bila berhadapan
dengan media. Tetapi saya tahu ini yang perlu saya hadapi apabila
memilih Sarimah.
Saya sendiri suka bertemu orang dan rasanya tiada masalah," katanya tersenyum.
Ubah cita rasa
Siapa sangka kekasih Sarimah kali ini merupakan seorang lelaki
Melayu. Antara perkara pertama yang melegakan wanita ini tentunya untuk
mengetahui persamaan agama yang dipegang.
Bersikap jujur, balas Sarimah yang tahun ini berumur 36 tahun,
selepas bercerai dengan Amir Andrew Abdullah sejak dari tahun 2006, dia
pernah berada dalam hubungan cinta, bagaimanapun semuanya berderai di
tengah jalan tanpa penghujung.
Agak musykil pada mulanya bagaimana Tunku Jamie cukup selesa meneruskan hubungan dengan dirinya.
Kata Sarimah, dia tidak sangka akan ada lelaki Melayu yang tertarik dengan dirinya.
Kali pertama mengenali Jamie saya tidak tahu dia kerabat diraja. Selepas seminggu mengenali dia baru saya tahu.
Memang pada waktu itu saya panik. Siapa sangka saya didekati
seseorang yang mempunyai kehidupan yang jauh berbeza daripada saya,"
katanya.
Menerjah kembali acara di awal perkenalan mereka, kata Sarimah, tentunya status menjadi perkara utama yang ditanya.
Tidak pernah mahu menjadi orang ketiga dalam mana-mana hubungan,
Sarimah percaya keserasian yang wujud antara dia dan Jamie membuatkan
hubungan ini berjalan lancar.
Saya pernah terlibat dalam hubungan yang memakan masa tiga hingga
empat tahun tetapi tiada apa yang berlaku. Jadi saya tidak kisah kalau
ada yang kata hubungan ini masih baharu.
Perkara utama yang saya tanya adakah dia sudah berkahwin, bila saya tahu dia duda saya lega," katanya.
Berasal dari keluarga biasa, tentunya ada yang berbeza untuk Sarimah
kelak untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang kerabat.
Tidak mahu terlalu memikirkan soal itu balas Sarimah dia akan tetap menjadi dirinya yang sebenar.
Saya tidak pernah terfikir soal itu, benar dia dari keluarga diraja.
Tetapi ibu bapa saya juga mendapat layanan diraja oleh saya. Cuma saya
tidak akan menipu diri sendiri. Saya selesa dengan cara saya," katanya.
Mengakui sudah bersedia bergelar seorang isteri tahun hadapan,
Sarimah juga bersedia untuk bergelar seorang ibu dalam waktu terdekat.
Siapa tahu perkahwinan kali ini akan memberi peluang buat dia untuk bergelar seorang ibu pula.
Mungkin kami akan mengikat tali pertunangan dalam tempoh enam atau tujuh bulan.
Soal anak memang saya mahu anak. Kalau boleh seorang lelaki dan seorang perempuan," katanya. -Utusan