Saudara Baru Kekal Nama Demi Ibu... Alhamdulillah...

Kuala Lumpur - “Nama adalah anugerah pertama yang diberikan ibu bapa ketika dilahirkan, jadi untuk menghargai segala pengorbanan mereka, saya mahu kekal menggunakan nama Cina walaupun sudah memeluk Islam.” 

Itu luahan saudara baru, Ng Pooi Kheng, 24, atau nama panggilannya Sophea Ng yang mengambil keputusan tidak menukar nama dalam kad pengenalan seperti kelaziman saudara baru lain selepas memeluk Islam pertengahan tahun lalu.

Katanya, ketika dia menyuarakan hasrat untuk bergelar muslimah kepada ibunya, antara kerisauan yang dibangkitkan adalah dia akan meninggalkan keluarga, menukar namanya dan ‘masuk Melayu’.

“Ibu menceritakan bagaimana sukarnya dia mencari nama untuk saya ketika dilahirkan dan dia amat sedih apabila memikirkan saya akan tukar nama setelah memeluk Islam,” kata jururawat berkenaan yang ditemui selepas majlis perkahwinannya bersama seorang ahli farmasi, Muhammad Zuhair Mokhtar di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, semalam.

Bagaimanapun, setelah merujuk kepada guru agama dia dimaklumkan tiada syarat dalam Islam yang mewajibkan saudara baru menukar nama, asalkan nama asal memberi maksud yang baik. -myMetro