Dikatakan bakal berkahwin penghujung bulan ini, pelakon Wan Sharmila akui terkejut dan tidak tahu dari mana cerita itu timbul.
Ditemui selepas pelancaran drama terbaru lakonannya, Hanya Satu,
pemilik nama Wan Sharmila Wan Mohamed ini berkata, dia langsung tidak
tahu apa-apa mengenai cerita yang diwujudkan itu.
“Saya tak tahu apa-apa mengenai berita hendak kahwin itu. Saya pun tengah tunggu bilakah jodoh saya akan tiba.
“Saya tak mahu cakap mengenai gosip berkenaan sebab takut kenyataan dimanipulasi. Seperti yang berlaku baru-baru ini, lain yang saya cakap lain pula cerita yang keluar. Apabila saya kata tiada, tapi ditulis saya menafikan seolah-olah perkara itu berlaku sedangkan tidak,” katanya.
“Saya tak mahu cakap mengenai gosip berkenaan sebab takut kenyataan dimanipulasi. Seperti yang berlaku baru-baru ini, lain yang saya cakap lain pula cerita yang keluar. Apabila saya kata tiada, tapi ditulis saya menafikan seolah-olah perkara itu berlaku sedangkan tidak,” katanya.
Pelakon berusia 33 tahun itu ditemui pada sidang media drama bersiri
web Hanya Satu yang bakal disiarkan di laman web Tonton.com.my.
Drama yang turut menampilkan Syarif Sleeq, Kilafairy, Qhaud Rashid dan Fezrul Khan itu akan bermula siarannya pada 15 September ini pada jam 12 tengah hari setiap Isnin hingga Jumaat.
Wan berkata, jika benar dia akan berkahwin, dia akan memberitahunya kepada umum dan tidak akan merahsiakan perkahwinan kali keduanya itu.
Laporan sebelum ini menyatakan pelakon drama bersiri Tari Tirana itu sudahpun membuat persiapan majlis pernikahan dan perkahwinannya dengan seorang juruterbang.
Disebabkan cerita itu, ia menjadi bahan gelak antara dia dan rakan-rakan, namun jauh di sudut hatinya, dia berasa sangat sedih dan kecewa serta berasakan ada pihak yang cuba memburuk-burukan namanya.
“Cerita itu jadi bahan gelak saya dan kawan-kawan. Kelakarnya sebab si penulis lebih tahu banyak mengenai saya daripada diri saya sendiri.
“Sedangkan saya tidak fikir langsung pasal kahwin sebaliknya saya kini semakin sibuk dengan kerja dan sedang fokus mencari duit.
“Namun, jauh di sudut hati, saya berasa sangat sedih. Terasa diri seperti dipijak-pijak dan ditindas. Saya tidak tahu dari mana dan bagaimana cerita itu boleh timbul. Mungkinkah disebabkan saya ini terlalu jujur dan ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap sikap saya itu,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Sharmila akui gosip sebegitu adalah asam garam dan lumrah biasa yang akan dilalui kebanyakan artis begitu juga dengan dirinya.
“Saya tidak menyesal dengan apa yang terjadi, saya anggap ini adalah harga yang harus saya bayar sebagai anak seni,” katanya lagi.