MELAKA – Polis Melaka memanggil seorang lelaki bagi membantu
siasatan kes pemilikan kad kuasa ‘perisik’ Kementerian Dalam Negeri
(KDN).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah
berkata lelaki berusia 30 tahun yang bekerja di sebuah hotel di negeri
itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor
Gajah pada 11 malam, 31 Ogos lepas.
Beliau berkata polis turut merampas satu kad kuasa Unit Risikan Khas
KDN yang mempamerkan jawatan perisik dipercayai diterima daripada
seorang kakitangan KDN berusia 34 tahun.
“Lelaki terbabit mengaku memperoleh kad itu daripada rakannya yang bekerja di kementerian tersebut pada April lepas.
“Namun, hasil siasatan mendapati tiada Unit Risikan Khas dalam KDN
dan juga tiada kad kuasa dikeluarkan kementerian itu,” katanya kepada
pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Raja Shahrom berkata pihaknya membuka kertas siasatan bagi kes
berkenaan dan tindakan lanjut akan diambil terhadap lelaki itu jika
terdapat sebarang kesalahan jenayah.
Bagaimanapun, beliau berkata sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung penggunaan kad kuasa itu.
“Kami minta orang ramai atau pihak berkuasa jika ada yang pernah
ditemui orang yang mengatakan dia perisik KDN supaya tampil membuat
laporan polis dan kita akan ambil tindakan serta-merta,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Shahrom berkata pihaknya kini sedang mengesan kakitangan KDN yang memberikan kad kuasa berkenaan. – BERNAMA