Selami Derita Kanak-Kanak Di Syria...

Adik-adik kita di Syria...
Suasana kembali ke sekolah bagi kanak-kanak di bandar yang dikuasai kumpulan pejuang ini bermakna terpaksa belajar di bilik darjah bawah tanah untuk berlindung daripada serangan udara tentera rejim.

Di sebuah sekolah, kanak-kanak dilihat berlari dari kawasan yang cerah ke ruang yang lebih gelap di bawah tangga menuju ke tingkat bawah.

Puluhan kanak-kanak, lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur berbeza terpaksa berhimpit dalam bilik darjah yang hanya mempunyai 15 meja.

Dengan cat pada dinding yang sudah mengelupas, ia bukan suasana bilik darjah yang biasa kita lihat.

Walaupun hanya mempunyai beberapa buku nota, pen dan pensil namun mereka tetap bersemangat untuk menyanyi bersama-sama serta memberi tumpuan ketika guru Abdullah menulis di papan hitam.


“Kanak-kanak ini terpaksa belajar di bilik bawah tanah kerana pengeboman tidak pernah berhenti. Di atas sana, kelas mempu­nyai peralatan lengkap tetapi kerana bimbang serangan bom, kami terpaksa berada di bawah ini.

“Kami sedar tekanan yang kanak-kanak ini hadapi. Kami berusaha menaikkan semangat dan menghiburkan mereka agar mereka biasa dengannya. Kami berharap dengan izin Allah, tidak lama lagi ke­adaan akan kembali seperti sedia kala,” kata Abdullah.

Pada waktu terluang antara mata pelajaran, pelajar berpusu-pusu menaiki tang­ga untuk berehat seketika bagi menikmati udara luar, meskipun bahaya serangan bom tentera rejim menanti mereka.

Pesawat dan helikopter rejim sering terbang di ruang udara Aleppo untuk melancarkan roket dan menggugurkan bom tong yang mampu membunuh dan mencederakan sesiapa sahaja yang berada berhampiran tanpa kompromi.

Seorang pelajar, Jaafar berkata mereka akan naik ke atas untuk bermain seketika selepas berada di bawah untuk tempoh masa yang lama.

“Tetapi kami tidak boleh berada di atas terlalu lama kerana kami takut pesawat tentera datang dan mengebom kami,” kata­nya.


Di padang permainan berhampiran, kanak-kanak dilihat berlari dengan gembira dan bermain bersama-sama.

Ia pemandangan yang semakin sukar dilihat selepas ribuan kanak-kanak dibunuh tentera rejim sejak konflik Syria bermula pada Mac 2011.

Selain itu, ramai juga kanak-kanak kehila­ngan tempat tinggal akibat pertempuran tentera rejim dengan kumpulan pejuang.

Aleppo antara kawasan paling teruk terjejas.

Bandar yang pernah menjadi hub ekonomi Syria suatu ketika dahulu kini umpama padang jarak selepas kebanyakan infrastruktur musnah.

Menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, hampir 3,000 orang terbunuh akibat serangan udara tentera rejim tahun ini, hampir 800 daripadanya kanak-kanak.

Sistem persekolahan di Syria kini menjadi tidak teratur. Kurikulum formal menjadi sangat terbatas.

Kanak-kanak dari ling­kungan umur berbeza belajar dalam kelas yang sama.


Secara keseluruhannya, kira-kira 4,000 sekolah di Syria musnah, rosak teruk atau digunakan sebagai tempat perlindungan bagi penduduk yang kehilangan kediaman.

Ia sekaligus menjejaskan sistem pendidikan negara itu.

Menurut laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), 90 peratus kanak-kanak dalam usia persekolahan tidak bersekolah di Aleppo dan wilayah Raqqa serta 68 peratus di Damsyik.

Seorang lagi guru di Aleppo, Mona berkata, keadaan amat berbeza jika dibandingkan dengan sebelum perang.

“Kami dipaksa menjadikan kediaman yang tidak boleh dihuni sebagai sekolah. Pelajar kami menderita, tiada tempat untuk bermain. Kawasan sekolah sering dijadikan sasaran pengeboman,” katanya.

Mona menceritakan bagaimana ramai pelajar yang sering terlepas sesi persekolahan dan hadir beberapa minggu kemudian memberitahunya rumah mereka dibom atau menjadi sasaran serangan udara.

“Mereka akan memberitahu ‘saya berada di sekian tempat dan kawasan itu diserang, rumah saya musnah dibom atau abang saya terbunuh,” katanya. - AFP