Seluruh Skuad Pelapis Bola Sepak, Jurulatih, Paderi Cameroon Peluk Islam! Alhamdulillah...

Dilaporkan bahawa seluruh skuad pelapis bola sepak kebangsaan Cameroon telah bertindak memeluk Islam secara beramai-ramai dalam satu majlis yang cukup istimewa di negara berkenaan.

Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Kebajikan Dubai (IACAD), Emiriyah Arab Bersatu, yang mengesahkan laporan tersebut di mana jurulatih dan paderi skuad itu turut mengambil langkah memeluk agama Allah itu.

Menurut sumber, majlis berkenaan berlangsung di kem latihan yang dianjurkan jabatan berkenaan di Dubai baru-baru ini dan tindakan skuad muda Cameroon itu mendapat pujian dari ramai pihak.

IACAD turut memaklumkan bahawa keputusan itu diambil kerana mereka tertarik dengan layanan baik dari warga tempatan di situ, serta suasana aman, tenteram dan ketenangan jiwa yang dapat mreka rasakan di dalam Islam.

Difahamkan bahawa skuad bola sepak Cameroon biasanya berasal dari akademi bola sepak yang ditubuhkan khas untuk golongan anak-anak yatim, orang gelandangan dan orang miskin di negara Afrika itu.

Ketua Pengarah IACAD, Dr Hamad Al Shaibani berkata, fenomena memeluk agama Islam begitu adalah menjadi satu kebiasaan bagi jabatan tersebut yang telah menyaksikan ramai penduduk dan pelancong dari pelbagai kewarganegaraan memeluk Islam di sana.

Beliau menjelaskan bahawa akhlak dan cara hidup Islam merupakan faktor utama yang menjadi tarikan golongan bukan Islam untuk memeluk agama Allah itu.

“Kebanyakan mereka memeluk agama Islam kerana tertarik dengan nilai-nilai toleransi berperikemanusiaan dan prinsip Islam serta kebajikan yang ditunjukkan oleh orang Islam itu sendiri,” jelasnya. -KedahNews.com