CYBERJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin hari ini mengumumkan setiap pelajar di Institut Pengajian Tinggi
Awam (IPTA) wajib lulus kursus Bahasa Inggeris sebelum menamatkan
pengajian di universiti masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, polisi baharu kerajaan
itu juga sudah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak demi
melahirkan graduan bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program
Pemangkin Kebolehpasaran Graduan (CGEE) 2014, di sini, hari ini.
CGEE adalah program yang bertujuan menyediakan pelajar ke alam
pekerjaan dengan memberikan latihan dan pendedahan kepada mereka selain
menawarkan peluang pekerjaan di akhir program berkenaan di Cyberjaya.
Ia memberi peluang kepada pelajar untuk menjalankan latihan industri
di syarikat terkemuka di Cyberjaya sekali gus membuka peluang pekerjaan
kepada mereka di syarikat yang terbabit.
Katanya, dalam masa tiga tahun akan datang dijangka kira-kira 10, 000
peluang pekerjaan bakal diwujudkan di Cyberjaya, justeru pelaksanaan
program CGEE 2014 ini berada pada landasan yang sangat tepat. – BH
Online