Shaari, Hasnul: PAS Kata "Barua", DAP Kata "Hero"

Dua Ahli Dewan Undangan (Adun) PAS, Hasnul Baharuddin dan Shaari Sungib dinobat dan dirai sebagai "hero" oleh DAP walaupun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melabel Adun tersebut sebagai "broker" dan "barua".

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rashyakaran mendakwa kononnya tindakan Adun Morib dan Adun Hulu Klang itu telah mengubah haluan krisis politik Selangor dan akhirnya membawa kepada penyelesaian konflik.

Menurut Adun DAP itu, jika tidak kerana tindakan mereka yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, dijangka mungkin Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih kekal sebagai Menteri Besar hingga kini.

"Walaupun pada asalnya sokongan itu dibuat untuk Wan Azizah, tetapi akhirnya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang dipilih.

"Mereka ini bukan pengkhianat, mereka ini perwira rakyat. Disebabkan mereka, cubaan Umno untuk bergabung dengan Pas dan membentuk kerajaan di Selangor tidak berjaya," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam DAP yang dipetik dari Bernama baru-baru ini.

Justeru itu, Rajiv menyifatkan tindakan dua Adun tersebut sebagai "wira" kerana menyelamatkan Pakatan Rakyat (PR).

Hasnul ketika berucap di majlis yang sama turut "menambah perisa" menegaskan bahawa dia sedia bertanding di atas tiket DAP sekiranya PAS enggan mencalonkannya lagi pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"... tak kisah, saya tak jadi calon PAS pun tak apa, saya boleh jadi calon DAP," katanya di majlis yang sama.

Hasnul dan Shaari sebelum ini menyokong pencalonan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor baharu menggantikan Abdul Khalid.

Pada Muktamar PAS ke-60 baru-baru ini, Abdul Hadi mengutuk tindakan mereka yang tidak selari dengan arahan parti untuk tidak menyokong isteri Anwar sebagai calon Menteri Besar dan mempertahan kedudukan Abdul Khalid.

Keengganan Hasnul dan Shaari untuk patuh pada arahan Presiden PAS itu menyebabkan mereka dilabel sebagai pengkhianat, "broker" dan "barua".

Selain itu, mereka berdua juga difahamkan sedang  berhadapan dengan tindakan tatatertib yang bakal diputuskan oleh PAS Pusat.

Turut hadir dalan majlis tersebut ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Hasnul dan Shaari. -KedahNews.com