LAHAD DATU – Pihak polis telah mengenal pasti
individu yang mengeluarkan kenyataan untuk membawa Sabah keluar dari
Malaysia, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd
Zinin.
Beliau berkata, siasatan lebih lanjut akan dilakukan terhadap
individu terbabit dalam tempoh terdekat kerana mengeluarkan kenyataan
yang berunsur hasutan.
“Tindakan tegas akan ambil terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataaan mempertikai kedudukan Sabah dalam Malaysia.
“Polis akan mempastikan tindakan diambil selari dengan kenyataan yang
dibuat yang boleh kita anggap sebagai menghasut masyarakat di Sabah
supaya membenci negara sendiri,” katanya kepada pemberita dalam sidang
akhbar selepas merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu
hari ini.
Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam
satu program di Sipitang berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap
pihak yang mencadangkan usaha membawa Sabah keluar dari Malaysia yang
disifatkan sebagai menjejaskan semangat kerjasama, keselamatan dan
perpaduan rakyat.
Mohd Bakri berkata, kenyataan itu dilihat sebagai sengaja mahu
memporak perandakan negara dan meminta pihak berkenaan supaya
menghentikan tindakan sedemikian.
Mengenai pelakasnaan perintah berkurung di perairan timur Sabah,
beliau berkata ia akan dihentikan jika tahap keselamatan di kawasan itu
pulih.
Beliau berkata tindakan yang diambil adalah berdasarkan kepada
keperluan keselamatan dan anggota masyarakat sedia maklum ia berkesan
dalam mengekang kegiatan yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan di
Sabah.
“Setakat ini, perintah berkurung masih kekal dan orang ramai di
kawasan terlibat perlu memberi kerjasama. Sekiranya keselamatan di Zon
Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) pulih sediakala, barulah kita
fikirkan untuk tidak melanjutkannya,” katanya. – BERNAMA