Simbol Pun Tak Boleh Selesai, Macam Mana Rakyat Nak Yakin? - Phahrolrazi

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mempertikai peranan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang terbukti gagal mencapai kata sepakat dalam pelbagai perkara berhubung gabungan tiga parti pembangkang itu.

Katanya, perkara remeh seperti simbol (logo) Pakatan Rakyat pun gagal dicapai kata sepakat, apatah lagi tentang perkara-perkara dasar perjuangan parti yang jelas bertentangan antara satu dengan lain.

"Macam mana rakyat nak beri keyakinan kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan? Pasal simbol pun tak boleh selesai.." katanya di sebuah forum "PAS Campur UMNO: Ke Mana Hala Tuju?", baru-baru ini.

Bidasnya, pakatan antara PAS, DAP dan PKR yang berlaku sejak tahun 2008 masih gagal untuk mendapat status berdaftar meskipun sudah gabungan itu sudah berlaku dalam tempoh 6 tahun ekoran tiada usaha yang serius ke arah pendaftaran "Pakatan Rakyat" yang sah.

Phahrolrazi turut mempersoal ramai di kalangan pemimpin utama parti Pakatan Rakyat yang tergamak bertelagah sesama sendiri di ruang media hingga menjejaskan nama parti dan disifatkan sangat memalukan khususnya dari sudut pandangan rakyat Malaysia.

Pakatan Rakyat merupakan sebuah gabungan tidak sah yang diketuai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkali-kali melaungkan hasrat peribadinya untuk menjadi Perdana Menteri sejak tahun 1999, setelah dipecat dari UMNO atas salah laku yang pernah dilakukan dalam kerajaan.

Ketika awal parti-parti pembangkang itu bergabung, ramai penganalisis politik berpandangan bahawa ikatan tersebut tidak akan lancar ekoran pertentangan dasar perjuangan yang sangat berbeza, khususnya di antara PAS dan DAP.

Sepanjang 6 tahun bergabung, Pakatan Rakyat dilihat sering bercakaran sesama sendiri dalam pelbagai pertikaian termasuk kandungan buku jingga, hala tuju dan pendirian parti yang mencetus kontroversi hangat yang menjadi punca perbalahan serius.

Ramai golongan akar umbi PAS yang hilang sabar mendakwa parti mereka di"anak tiri"kan DAP dan PKR. PKR pula dikatakan berpihak pada DAP demi meraih sokongan dari parti itu untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri. 

DAP pula difahamkan lebih gemar menjadi "mastermind" mengatur "buah-buah catur" yang bernama "PAS" dan "PKR" dalam menjayakan agenda politik mereka.

Menurut bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa yang dianggap "pakar perlembagaan", Dr Aziz Bari, rakyat di negara ini sudah "letih" dengan permainan politik yang berlaku di dalam Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor.

"Di Selangor ni rakyat sudah 'letih'.. kita tengok tinjauan yang dibuat oleh Merdeka Centre dan sebagainya, rakyat 'letih'..termasuk penyokong tegar Pakatan Rakyat sendiri", katanya mengulas mengenai pertikaian yang sama.

Kemuncak pergaduhan di dalam Pakatan Rakyat semakin "retak menanti belah" apabila berlaku krisis "coup de tat" Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang menjadi mangsa kerakusan politik dalaman di antara pemimpin tertinggi parti itu.

Langkah Kajang digerakkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, untuk menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar Selangor, namun gagal ekoran suami Datuk Seri Wan Azizah itu hilang kelayakan bertanding di Pilihanraya Kecil (PRK) Kajang dan digantikan oleh Presiden PKR itu.

Ekoran kenyataan Wan Azizah sebelum ini yang rela menjadi Menteri Besar "boneka" suaminya, Anwar memutuskan supaya PKR mengangkat isterinya itu sebagai Menteri Besar menggantikan Khalid dan beliau disokong oleh DAP.

PAS yang awalnya membantah Langkah Kajang, berpendirian bahawa Wan Azizah tidak layak menjadi Menteri Besar dan enggan sepakat dengan PKR atau DAP dalam mencalonkan nama Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ekoran itu, berlaku bergaduhan sengit di antara PAS dengan PKR dan DAP di mana ramai pemimpinnya yang sebelum ini menyembunyikan ketidakpuasan hati tampil membongkar mempamerkan "warna sebenar" Pakatan Rakyat kepada khalayak umum. -KedahNews.com