Strategi Lautan Biru Melegakan Rakyat Kulim

KULIM - Kerajaan negeri memperkenalkan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui projek-projek di luar kebiasaan dilaksanakan secara kerjasama melibatkan pelbagai kementerian.

Bagi merealisasikan objektif itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Azizan Mohd Sidin merasmikan Pelancaran Program Transformasi Sosial Strategi Lautan Biru Kebangsaan bertempat di Rumah Pangsa Kilang Lama, pagi semalam.

Menurutnya, sejak 2012, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Kementerian Dalam Negeri telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan NBOS kejiranan indah bagi menanggung masalah dihadapi oleh penduduk perumahan awam terutama kemudahan infrastruktur dan persekitaran yang tidak terurus, suram serta kotor.

"Keadaan ini telah menjejaskan kualiti hidup rakyat dan meningkat rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Dari Julai 2012 sehingga akhir 2013, KPKT melalui NBOS kejiranan indah telah melaksanakan projek di 54 lokasi di seluruh negara.

“Rumah Pangsa Kilang Lama merupakan satu daripada enam perumahan awam di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah yang telah dibaik pulih di bawah inisiatif NBOS Kejiranan Indah pada 2013 dengan kos sebanyak RM1,161,649.00," katanya.

Azizan berkata, kini mereka dapat melihat sendiri rumah pangsa itu berubah wajah dan menjadi sebuah kejiranan indah yang ceria serta lengkap dengan bangunan yang telah dicat semula selain bumbung bangunan yang telah diganti baru, kemudahan taman permainan kanak-kanak, alat senaman interaktif dan persekitaran landskap baru sebagai tempat rekreasi serta ruang aktiviti harian penduduk yang boleh dibanggakan.

Katanya, berasaskan konsep bahawa penjagaan berterusan, kemudahan awam tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, program transformasi telah diwujudkan bagi mencapai objektifnya seperti mewujudkan kejiranan indah yang dapat melibatkan masyarakat setempat terhadap program dan aktiviti dijalankan.

"Ini mampu mewujudkan nilai bertanggungjawab terhadap kawasan setempat meliputi aspek keselamatan dan kebersihan. Selain itu semangat kejiranan juga dipupuk dalam nilai masyarakat setempat sebagai usaha meningkatkan kejiranan sejahtera baik dari segi fizikal mental dan sosial," katanya.

Malah katanya, bagi merealisasikan inisiatif baru ini, Kementerian Kesejahteraan Bandar (KKB), Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengenal pasti lima program utama yang boleh dilaksanakan di semua 29 lokasi NBOS kejiranan indah.

"Antara jabatan di bawah KPKT dan agensi lain terlibat adalah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Jabatan Bomba Penyelamat, Jabatan Kesihatan, KDN, PBT dan 1M4U.

"Untuk mengurangkan jenayah, program AMANITA yang terdiri daripada anggota polis wanita sebagai ahli akan diperkenalkan untuk menarik suri rumah sebagai rakan AMANITA menjadi mata dan telinga kepada polis bagi menyalurkan maklumat kes jenayah yang berlaku” katanya. -Sinar Harian