OLEH kerana telefon bimbit yang kebetulan terjatuh daripada poket
seluar telah menyelamatkannya daripada berlaku kemalangan yang mungkin
meragut nyawa.
Berkongsi pengalaman itu, Khairul Nizam Amat Zaini, 30, berkata,
kejadian berlaku ketika beliau ingin memulakan perjalanan menaiki
motosikal selepas berhenti di sebuah lampu isyarat untuk menuju ke
tempat kerja.
Siapa sangka telefon bimbit tersebut menjadi penyebab yang
menyelamatkan nyawa penulis buku itu daripada dilanggar oleh sebuah
kereta dari arah bertentangan yang melanggar lampu isyarat merah dan
dipandu laju.
Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu yang
hampir dilanggar kereta itu. Oleh kerana mengejar lampu isyarat kuning
sebelum bertukar merah, kereta itu dipandu sangat laju.
Mujur telefon bimbit yang saya letakkan di dalam poket seluar secara
tiba-tiba terjatuh membuatkan saya terpaksa berhenti daripada terus
berjalan setelah lampu isyarat bertukar hijau. Saya beristighfar panjang
kerana mungkin kehilangan nyawa jika dilanggar kereta itu.
Bila difikir-fikirkan, mungkin ia berlaku secara tidak sengaja,
tetapi kejadian itu lebih meyakinkan saya bahawa Allah SWT ingin
melindungi saya daripada kecelakaan tersebut melalui kelebihan amalan
kalimah Bismillah yang saya amalkan," kongsinya kepada Mega, Utusan
Malaysia, baru-baru ini.
Mempercayai tiada yang berlaku secara kebetulan, beliau berkata,
segala perkara yang berlaku merupakan ketentuan daripada Allah SWT
kepada hamba-hamba-Nya, namun boleh diubah dengan meminta pertolongan
dan ihsan daripada-Nya.
Telah menjadi amalan saya sejak kira-kira dua tahun yang lalu, saya
akan membaca kalimah Bismillah berserta surah tiga Qul apabila ingin
keluar dari rumah atau melakukan apa sahaja dengan berharap perlindungan
daripada Allah SWT.
Alhamdulillah, walaupun kejadian kecil tetapi cukup bermakna dan
membuatkan saya lebih yakin dengan kelebihan mengamalkan kalimah
Bismillah sebagaimana yang diceritakan turut berlaku kepada pada ulama
dan nabi terdahulu," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, bukan mengharapkan fadilat untuk melakukan
amalan tersebut, sebaliknya menyakini amalan itu merupakan tuntutan
untuk mencari keredaan daripada Allah SWT sebagai hamba-Nya.
Tiada yang mustahil
Kedengaran agak tidak masuk akal, namun pelbagai kisah dan keajaiban
yang diceritakan berlaku terhadap individu terpilih yang mengamalkan
kalimah Bismillah dalam kehidupan harian diakui benar berlaku dengan
izin daripada Allah SWT.
Ahli Panel Majlis Tareqat Sufiyyah (Jalsah Turuq Suffiyyah), Jabatan
Mufti Negeri Sembilan, Dr. Jahid Sidek berkata, mungkin kebanyakan
masyarakat umum menganggap perkara biasa, namun bagi golongan ulama dan
sufi menyakini kalimah itu merupakan amalan yang penting dan istimewa.
Malah ia juga tambahnya, menjadi faktor utama yang membolehkan
seseorang mencapai hakikat rukun Islam dan rukun iman sebenar dalam
mencapai darjat insan sempurna yang mempunyai penuh sifat kehambaan.
Kalimah Bismillah inilah yang pertama sekali diajarkan oleh Malaikat
Jibril kepada Rasulullah SAW pada pertemuan pertamanya ketika baginda
sedang mengasingkan diri di gua Hira menerusi surah al-Alaq ayat 1
hingga 5.
Jika difahami, konsep Bismillah yang bermaksud dengan nama Allah
dengan merenungkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Tidaklah seorang hamba berdoa di setiap pagi dan petang Dengan nama Allah, yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi dan juga di langit dan Dia (Allah SWT) Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" baca tiga kali, maka tidak akan ada yang memudaratkannya. (riwayat Tirmizi)
Hadis ini menjelaskan, seseorang mukmin yang seluruh zahir dan
batinnya berserta dengan nama Allah SWT akan sentiasa dipayungi
keselamatan dan kesejahteraan, sehinggakan tiada makhluk di bumi atau di
langit mampu memudaratkannya," katanya.
Jahid berkata, sekurang-kurangnya amalan menyebut nama Allah SWT
dapat memberi ketenangan hati dan fikiran orang yang mengamalkannya,
sekali gus memberikan keselesaan dan kesihatan kepada tubuh badan.
Tahap merasai hakikat kalimah Bismillah itu berbeza mengikut amalan
individu. Lebih banyak, yakin dan fokus dia bertafakur maka lebih tinggi
tahapnya di sisi Allah SWT. Dan pada ketika itu, akan lahir perasaan
dalam rohani bahawa semua kejadian turut berzikir menyebut nama Allah
SWT.
Kesannya, hati akan merasai mutmainnah (tenang), manakala seluruh
tubuh pula akan menjadi lembut, sihat dan selesa. Begitulah kelebihan
bertafakur dengan menyebut mana-mana sifat kesempurnaan Allah SWT,"
ujarnya.
Rawat penyakit
Dalam pada itu, Jahid yang juga pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah
berkata, menggunakan kalimah Bismillah juga, beliau merawat pelbagai
penyakit pesakit yang datang ke pusat rawatannya iaitu antaranya
penyakit batu karang.
Ia kongsinya, dengan membacakan sebanyak 99 kali kalimah
Bismillahirrahmanirrahim kepada 10 botol air mineral bersaiz 1.5 liter
dan juga tiga biji tembikai yang dijadikan jus untuk diminum dengan
kaedah dan dalam tempoh yang tertentu.
Menyebut Bismillah adalah salah satu kalimah yang penting ketika
ingin menjalani rawatan. Contohnya, dengan hanya membaca kalimah ini, ia
dapat menyembuhkan penyakit batu karang secara semula jadi.
Dalam kes terbaru, seorang yang menderita sakit batu karang sejak
beberapa tahun lalu datang untuk mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan
Manarah. Alhamdulillah, setelah diberikan air penawar yang dibacakan
nama Allah SWT, penyakit yang dihadapinya itu sembuh.
Pesakit itu pada mulanya tidak percaya, tetapi setelah melakukan
pemeriksaan doktor, terbukti penyakit batu karang yang dihadapi disahkan
telah tiada," katanya. -Utusan